PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM) Negeri Pulau Pinang

PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM) Negeri Pulau Pinang
Brotherhood the Foundation of Glory

Monday, January 31, 2011

PERUTUSAN YDP IKRAM P PINANG SEMPENA TAHUN BARU CINA 2011

Melebarkan Dakwah Kepada Belum Islam

Assalamu ‘alaikum wbkt
Segala pujian bagi Allah Pencipta Masa. Selawat dan salam atas Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarganya dan para sahabat sehinggalah pejuang akhir zaman.

Ikhwah dan akhawat, ahli-ahli IKRAM yang dirahmati sekalian.
Tidak lama lagi seluruh rakyat Tionghua Malaysia akan menyambut Tahun Baru Cina. Mengikut kalendar kaum Cina, tahun ini ialah Tahun Arnab. Saya teringat kata-kata mantan YDP JIM Pulau Pinang Dr Danial,"..ahli JIM mesti bermuka arnab..". Maksudnya kita kena senyum selalu dan muka manis kepada mad’u. Bagi saya kata-kata itu masih dipakai lagi terutamanya kepada pendakwah.

Sempena menyambut cuti perayaan Tahun Baru Cina ini, eloklah kita melebar dakwah kita kepada masyarakat Tionghua. Ucaplah selamat tahun baru kepada rakan-rakan sekerja kaum Cina. Insya Allah, ia tidak melanggari syariat kerana sambutan ini tidak bersifat kepercayaan atau aqidah kaum Cina. Ia hanya adat budaya sahaja. Mudah-mudahan ini membuka pintu komunikasi yang selesa dengan mereka.

Saudara-saudari sekalian,
Kita ingin menghilangkan kegerunan kaum Cina (dan kaum lain juga) terhadap Islam. Kita juga mahu merealisasikan bahawa Islam adalah rahmat sekalian alam. Pertama, kita perlu ingat, apa urusan kita dengan mereka sekalipun ada tujuan dakwah.

Kaum Cina adalah kaum yang berpotensi besar untuk bakal menjadi kuasa ekonomi dunia. Kini kuasa Amerika sudah mengakuinya. Pengeluaran Kasar Negara China (Gross Domestic Product) telah menyaingi Jepun dan menjadi kuasa ekonomi yang kedua terbesar dunia. Bukan maksud saya dakwah untuk kepentingan kebendaan. Namun, jika dibandingkan mereka dengan kaum lain, mereka lebih terbuka tentang Islam. Mana tahu kuasa ekonomi merekalah yang membantu kemenangan dunia Islam nanti!

Insya Allah, pada tahun ini, JK Dakwah Belum Islam melalui Hidayah Centre akan menganjurkan majlis menyambut Tahun Baru Cina dengan meraikan rakan-rakan Tionghua setempat dengan makan-minum dan tarian Naga. Sama-samalah kita sertai dengan menjemput rakan-rakan sekerja. Biarlah mereka lihat keterbukaan kita dan tunjukkan akhlaq Islam sentiasa.

Mudah-mudahan akan tercapai 80% penduduk Pulau Pinang beragama Islam pada tahun 2020. Amiin.

"Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil."
Al Mumtahanah : 8

Wassalamu ‘alaikum.

Sunday, January 16, 2011

Review PS IKRAM Pulau Pinang



Salam alaik.
Alhamdulillah & barakallah ikhwah dan akhawat sekelaian.

Hari ini 16 Januari 2011 bermula jam 9.00 pagi sehingga hamper 2.00 petang bertempat di Pejabat IKRAM Pulau Pinang sedang berlangsung Review Perancangan Strategik IKRAM Pulau Pinang bersama wakil pusat.

Hampir kesemua exco IKRAM Negeri dan YDP Daerah hadir dalam sesi pembentangan perancangan strategik mengikut KRA masing masing. Manakala wakil pusat ialah terdiri dari akhi Zaid Kamarudin dan Yaakob. Juga bersama-sama kita adalah akhi Wan Muda dan Mohd Radhi Wahab dari IKRAM Perlis untuk membentangkan PS mereka selepas IKRAM Pulau Pinang.

Beberapa sesi pertanyaan dan penerangan telah berlaku dan negeri dikehendaki menyediakan blue print yang lengkap dengan diatur kembali KPI, tarikh, PIC dan catatan. Satu semakan awal akan dibuat pada bulan Jun 2011sebagi satu pemantauan. Suatu yang agak mencabar ialah untuk mencapai keahlian IKRAM seramai 1200 orang menjelang Disember 2011 yang telah disasarkan oleh Tabiah Negeri.

Ahli rasmi IKRAM Pulau Pinang sekarang adalah sejumlah 227 orang dan setiap daerah perlu memberi sasaran keahlian masing-masing dalam Jaulah YDP & Tarbiah ke daerah kelak. Sehingga sekarang daerah SPS, SPU dan SPT telah diziarahi dan daerah-daerah ini telah diminta memberi perancangan yang telah disusun-atur.


Dengan adanya perancangan yang sebegini akan memudahkan tugas-tugas ahli dan semoga seterusnya IKRAM akan lebih melonjak dan diterima dengan baik oleh masyarakat setempat malah ke tahap yang lebih tinggi lagi.

Monday, January 3, 2011

PERUTUSAN YDP IKRAM P PINANG SEMPENA TAHUN BARU 2011

PERUTUSAN YDP IKRAM P PINANG SEMPENA TAHUN BARU 2011
Melangkah Tahun Baru Dengan Lonjakan
Barisan Pimpinan IKRAM Negeri yang dedikasi. Semoga dipermudahkan segala kerja-buat dalam memikul amanah Tarbiah dan dakwah ini.

Assalamu ‘alaikum wbkt Segala pujian bagi Allah Pencipta Masa. Selawat dan salam atas Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarganya dan para sahabat sehinggalah pejuang akhir zaman.

Ikhwah dan akhawat, ahli-ahli IKRAM yang dirahmati sekalian.

Pada hari saya menulis nukilan ini, angka umur kita telah bertambah ‘1’ tahun. Ini bermakna umur kita semakin susut dan ‘khotimah’ kita semakin dekat. Apakah cukup bekalan pahala untuk akaun akhirat nanti? Itu untuk kita muhasabahkan. Namun dengan baki umur yang Allah simpan, yang lebih penting ialah apa pelan dan tindakan kita untuk menambah saham akhirat?

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
Al-Hasyr: 18

Saya pernah menulis artikel "Israk-mikraj kan Usia Anda" dalam Risalah Pemimpin JIM Jilid 8 tahun 2007. Rumusan penulisan tersebut ialah pendokong dakwah mesti lonjakkan amal melalui amal dakwah secara jama’i. Saya kira ini juga mampu menambah saham akhirat dan amal jama’i terus diimani dalam kelangsungan dakwah ini. Lanjutan dari itu, izinkan saya untuk sarankan sedikit beberapa langkah untuk IKRAM harungi tahun baru demi mencapai objektif tahun 2011.

Fokus kepada Keutamaan IKRAM. Perancangan Strategik IKRAM telah menggariskan apa tindakan dan sasaran yang perlu diraih untuk tahun 2011. Cubaan untuk cemerlang dalam semua sasaran selalunya akan menghasilkan pencapaian kelas kedua. Adalah lebih efektif untuk menumpu kepada sumber manusia yang terbatas namun mampu memberi keuntungan dakwah yang tinggi. Saya melihat KRA (Key Result Area) Tarbiah, Kebajikan Masyarakat dan Dakwah Masyarakat Majmuk wajar ditumpukan.

Berubah Secara Radikal. Natijah yang besar berhajatkan perubahan kerja-buat yang dramatik. IKRAM Pulau Pinang mempunyai keahlian seramai 227 orang yang berdaftar pada Disember 2010. Pada bulan Disember 2011, keahlian disasarkan akan meningkat kepada 1200 orang ahli! Bersandarkan kepada pendekatan yang sama serta kurang menguntungkan, tidak akan melonjakkan IKRAM. Kalau aktivisme IKRAM tertentu tidak berjaya menambah ahli baru IKRAM, sudah tentu aktivisme tersebut, pendekatannya dan mungkin penggeraknya sekali harus bertukar. Perubahan radikal mesti mula dari pemikiran, sikap dan corak amalan kita.

Bekerjasama dengan ‘Stakeholder’ Dalam melaksanakan kerja dakwah IKRAM, ‘stakeholder’ adalah sesiapa sahaja yang terkesan dengan kerja dakwah kita. Pemimpin masyarakat, masjid/surau, badan-badan kerajaan, waris sekolah kita, anak-anak usrah adalah mereka yang mesti di’engaged’ oleh penggerak IKRAM. Pemahaman dan kerjasama merekalah menjadi penentu kejayaan misi IKRAM. Penglibatan JIM dan IKRAM Pulau Pinang bersama Biro Dakwah YB Makhtar dan Pejabat Agama Kepala Batas adalah contoh yang baik.

Pantau Memantau. Perkara ini sering diabaikan, malahan telah manjadi kebiasaan organisasi NGO Islam. Selepas perlaksanaan berjalan perlu disusuli dengan pemantauan, samada arahan disempurnakan mengikut rancangan. Atau jika ada masalah, segera dapat diselesaikan. Jaulah Negeri ke Daerah-daerah adalah contoh yang baik. Pemantauan yang saya maksudkan di sini bersifat dua-hala. Orang atas pantau orang bawah yang melaksanakan arahan sementara orang bawah juga menegur selalu orang atas. Jika tidak dibudayakan aspek ini, kerja dakwah IKRAM akan ‘mati’ separuh jalan.

Akhir sekali, sempena tahun baru ini, marilah kita sama-sama tanam azam baru untuk melakukan sesuatu yang baru demi untuk kemaslahatan masyarakat di Pulau Pinang serta kebahagiaan hakiki di akhirat nanti.
"Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya."

Surah Ali Imran :159.


Oleh :
Ir Hj Jamaluddin Abdullah, YDP IKRAM Negeri Pulau Pinang