PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM) Negeri Pulau Pinang

PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM) Negeri Pulau Pinang
Brotherhood the Foundation of Glory

Monday, February 14, 2011

PERUTUSAN YDP IKRAM PP SEMPENA MAULIDUR RASUL

12 RABIUL AWAL, 1432 MASIHI

Segala puji bagi Allah Rabb semesta alam. Salawat dan salam kepada ar Rasul s.a.w. serta kaum keluarga baginda dan sahabat-sahabat dan yang menuruti mereka hingga ke hari kiamat.

Saudara saudari yang dirahmati Allah sekalian.
Seorang penulis dari Britain, Major Arthur Glyn Leonard dalam bukunya terbitan tahun 1909, 'Islam, Her Moral and Spiritual Values' berpendapat, "Kalau di bumi ini ada seorang yang mengenal tuhan dan mengikhlaskan diri kepadaNya, lalu menghabiskan semua kesempatan dan menggunakan seluruh potensinya untuk berbakti kepadaNya dengan tujuan yang mulia san pembelaan yang agung, tidak diragukan lagi, orang itu adalah Muhammad, .."

Saya hendak membawa satu contoh karakter yang mulia Nabi Muhammad s.a.w. untuk kita renungi. Ar Rasul s.a.w. dilahirkan dengan akhlaq dan keperibadian yang sempurna. Baginda tidak membiarkan dirinya didominasi oleh suasana sekeliling, bahkan keghairahan (enthusiasme) untuk mencari kebenaran dan komitmen terhadapnya merupakan sikap baginda yang paling menonjol.

Lihatlah, baginda dilahirkan di tengah-tengah lingkungan keluarga bani Hasyim yang berkuasa dan berkedudukan. Baginda mendapat pemeliharaan dari tok wannya. yang belum pernah didapati oleh seorang pun dari keluarga itu semasa kanak-kanak. Ada satu senario, ketika bapa saudaranya bersiap-siap pergi berdagang ke Syam, tiba-tiba Muhammad kecil memeluk erat-erat kerana ingin ikut serta. Abu Talib merasa hiba lalu membawanya bersama lantaran hubungan yang amat rapat.

Namun, apakah keturunannya menghalang baginda dari memegang teguh kebenaran itu? Sekali-kali tidak. Layanan baik dari Abdul Mutallib dan Abu Talib ini, sudah sangat layak kalau membuat Muhammad mengikut agama yang dipeluk oleh kedua-duanya. Jiwa beliau tidak cenderung kepada hal-hal yang tidak benar. Malahan ketika menemui kebenaran Islam, Muhammad s.a.w.berpegang teguh kebenaran itu meskipun harus berhadapan dengan keluarga yang telah memeliharanya dengan baik.

Ahli IKRAM sekalian,
Ini lah contoh tingginya keyakinan dan keteguhan Rasulullah s.a.w. kepada kita dalam menghadapi mehnah masa kini. Dugaan yang dekat dengan kita walaupun berlatar-belakangkan keluarga Islam, tetapi ia tetap mencabar istiqamah dalam perjuangan. Mehnah berbentuk kesenangan, keselesaan dan pangkat ini, kadang-kadang menghambat kita ke usrah, hadir ke program-program yang disusun oleh jamaah malahan mesyuarat penting hal ehwal ummat pun kita letak di keutamaan kebelakang.

"Katakanlah: "Jika bapak-bapak, anak-anak, saudara-saudara, istri-istri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik."
At Taubah : 24.
Marilah kita menyambut Maulidur Rasul dengan menyemai cinta kepada amal harian, amal dakwah serta amal jama’i yang ditinggalkan oleh baginda s.a.w. Sesungguhnya apabila memasuki kubur, amal-amal kebaikan yang dicintai ini akan masuk bersama sebagai bekal penyelamat kita.
Amiin.