PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM) Negeri Pulau Pinang

PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM) Negeri Pulau Pinang
Brotherhood the Foundation of Glory

Thursday, December 15, 2011

REHLAH IKRAMTeens Penang



Terbuka untuk alumni IKRAMTeens, KBM, Remaja Pulau Pinang & anak2 ahli IKRAM

Tarikh: 17 Disember 2011 (Sabtu)

Tempat: Hutan Rekreasi Ceruk Tok Kun, Bukit Mertajam

Terbuka Remaja: 13 - 17 Tahun sahaja

Aturcara program
10.30 - 11.30 pagi : Panjat Bukit
11.30 - 1.15 petang : Halalan Toyibah
1.15 - 2.00 petang : Solat /tazkirah
2.00 - 3.00 petang : Basic Life Support 911
3.00 - 4.00 petang : Turun bukit.
4.00 petang : Majlis penutupan

Untuk pendaftaran hubungi :

Khairilazhar 013-4891004
Latifah Bee 013-4383131


Tarikh tutup pendaftaran : 16/12/2011 (Jumaat)

TERHAD UNTUK 50 ORANG YURAN .:: PERCUMA ::.

Khairilazhar Bin Karim

Setiausaha KerjaAktivis Remaja IKRAM PULAU PINANG


Email : krjmotivation@yahoo.com / azharin84@yahoo.com

Tel :0134891004

Friday, July 1, 2011

Hendak Kebaikan Pimpinan Mesti Bijaksana

Ini peranan kita ahli IKRAM di mana sahaja amalan fardhu sentiasa dititik-beratkan.


Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi suatu kaum maka dijadikan pemimpin-pemimpin mereka orang-orang yang bijaksana dan dijadikan ulama-ulama mereka menangani hukum dan peradilan. Juga Allah jadikan harta-benda di tangan orang-orang yang dermawan. Namun, jika Allah menghendaki keburukan bagi suatu kaum maka Dia menjadikan pemimpin-pemimpin mereka orang-orang yang berakhlak rendah. DijadikanNya orang-orang dungu yang menangani hukum dan peradilan, dan harta berada di tangan orang-orang kikir. (HR. Ad-Dailami)

Bagaimana suasana kita sekarang? Bagaimana pimpinan kita sekarang? Bagaimana ulama kita sekarang? Jika jawapannya baik alhamdulillah, jika tidak maka kita mesti buat sesuatu dan tidak berdiam diri sahaja. Berdosa jika kita berdiam diri sedangkan mungkar berterusan.


Mereka anak muda ini perlu dipantau dan diberi tarbiah agar penerusan dakwah ini terancang walaupu kita generasi tua ini telah tiada.


Apatah lagi sebagai ahli IKRAM, ahli jamaah yang pentingkan tarbiah dan dakwah ini. Usrah mingguan menjadi wajib, daurah menjadi wajib, katiba wajib, muqayam wajib dan begitulah seterusnya. Hairan masih ada yang fobia dengan muqayam. Ia bukan mendera tetapi mendidik. Mungkin dahulu sudah jenuh dan sekarang perlu rehat. Walaupun ada di kalangan kita yang agak berusia tetapi bukan penghalang untuk bergerak aktif dalam dakwah. Buatlah sesuai dengan kapasiti dan usia kita. Jika tidak mampu terjun di medan jadilah mentor dalam merancang aktiviti, jadi AJK, jadi seorang yang dermawan, jadi orang tua yang bijaksana yang mendamaikan suasana. Cuma jangan duduk sahaja di dalam lingkungan zon selesa sahaja.

Semoga Allah SWT mengizinkan kita ceria dalam beramal dan istiqamah bersama IKRAM. Ya ikhwah istiraqat bulan ini sudah bayar ke?

Thursday, March 10, 2011

Beberapa Pengajaran Kebangkitan Rakyat Mesir

PERUTUSAN YDP IKRAM PP :
Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Salawat dan salam kepada Pesuruh Allah, Muhammad saw serta kaum keluarga baginda dan sahabat-sahabat serta mereka yang menuruti mereka hingga ke hari kiamat.

Saudara saudari ahli IKRAM yang dirahmati Allah sekalian.
Mutakhir ini, saya percaya ahli-ahli IKRAM mengikuti perkembangan yang menarik di bumi anbiya’ Mesir. Setelah 30 tahun pemerintahan kuku besi menindas rakyat, akhirnya dengan percikan kesan kejatuhan kerajaan Tunisia, Presiden Hosni Mubarak berundur oleh tekanan rakyatnya sendiri pada 11hb.Februari 2011.

Dalam kemelut kebangkitan ini, diakui oleh media Barat, ‘the most well-organised movement in Egypt’, Ikhwan Muslimun mula menjadi perhatian dunia. Kita melihat betapa Ikhwan Muslimun telah mewar-warkan kepada dunia bahawa mereka tidak berminat untuk memerintah Mesir dan mereka hanya menyertai bantahan rakyat Mesir. Tetapi cuba anda fikirkan siapa yang mengatur dan bagaimana momentum demonstrasi seramai 3.5 juta di Medan Tahrir dapat berkekalan selama 18 hari tanpa surut sedikit pun. Bagaimana mereka mampu menggerakkan massa dengan berkesan dalam keadaan putusnya sistem komunikasi?

15 juta Rakyat Bangkit di Medan Tahrir
Sepanjang 18 hari pemberontakan, semua ahli Ikhwan dikerah tangguhkan usrah, sertai perhimpunan rakyat di Medan Tahrir dan pastikan seramai 2.5 juta manusia sentiasa memenuhi Medan Tahrir. Untuk memastikan momentum kebangkitan berterusan, setiap orang pemuda Ikhwan diarah supaya pastikan sentiasa berhubung dan gerakkan kenalan umum (hasil daripada Rabtul Aam atau khidmat masyarakat) seramai 50 orang sepanjang masa. Masya Allah! Sungguh hebat perencanaan Ikhwan sehingga sejumlah 15 juta rakyat Mesir dapat digerakkan mengikut syif tanpa disedari ! Malahan, organisasi mana yang selepas demonstrasi turut membersihkan jalan-jalanraya dan mengutip sampah di merata-rata tempat kalau bukan dari arahan yang bersumberkan iman dan tarbiah?

Subhanallah! Bagi saya, inilah hasil tarbiah yang berterusan di dalam saf Ikhwan Muslimun sendiri yang bertahun-tahun ditindas, dipenjara dan diancam. Dari kacamata saya, antara faktor kemenangan rakyat Mesir ini ialah kekuatan Pemuda Ikhwan yang berdisplin dan patuh pada perintah pimpinan atau naqib mereka. Perasan atau tidak, tiada sehelai bendera Ikhwan Muslimun yang dikibarkan? Usaha khidmat masyarakat yang telah diketahui umum juga menyumbang kepada kepercayaan rakyat kepada Ikhwan.



“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata. ” Surah Al Ahzab: 36

Saya sering menemui Ahli Teras IKRAM sendiri yang berkira-kira bila diwajibkan menyumbang wang ringgit. Ada yang belum dapat mengutamakan program Jamaah, bahkan saya melihat Ahli Teras dan Aktif belum dapat disusun dalam sof yang berdisiplin dan kemas. Kalau ada pun tidak mencukupi untuk menjadi influential force di dalam IKRAM. Namun, saya yakin dengan pertolongan Allah dan potensi yang ada jiwa ikhlas penggerak, IKRAM Pulau Pinang mampu mencipta Arus Baru meladeni masyarakat dan meratakan tarbiah ummah.

Pesanan Buat Penggerak
Marilah kita sama-sama jayakan projek “ Ahli IKRAM Pulau Pinang 1200 orang”. Bantu membantu supaya kesihatan kewangan IKRAM bertambah mantap. Tarbiah dan dakwah bertambah subur serta pantau berterusan . Kita telah menjadi saksi rijal yang berdisiplin mampu meruntuhkan kerajaan yang zalim.
Sekian, wassalam.
Oleh : Ir Hj Jamaluddin Abdulah

Monday, February 14, 2011

PERUTUSAN YDP IKRAM PP SEMPENA MAULIDUR RASUL

12 RABIUL AWAL, 1432 MASIHI

Segala puji bagi Allah Rabb semesta alam. Salawat dan salam kepada ar Rasul s.a.w. serta kaum keluarga baginda dan sahabat-sahabat dan yang menuruti mereka hingga ke hari kiamat.

Saudara saudari yang dirahmati Allah sekalian.
Seorang penulis dari Britain, Major Arthur Glyn Leonard dalam bukunya terbitan tahun 1909, 'Islam, Her Moral and Spiritual Values' berpendapat, "Kalau di bumi ini ada seorang yang mengenal tuhan dan mengikhlaskan diri kepadaNya, lalu menghabiskan semua kesempatan dan menggunakan seluruh potensinya untuk berbakti kepadaNya dengan tujuan yang mulia san pembelaan yang agung, tidak diragukan lagi, orang itu adalah Muhammad, .."

Saya hendak membawa satu contoh karakter yang mulia Nabi Muhammad s.a.w. untuk kita renungi. Ar Rasul s.a.w. dilahirkan dengan akhlaq dan keperibadian yang sempurna. Baginda tidak membiarkan dirinya didominasi oleh suasana sekeliling, bahkan keghairahan (enthusiasme) untuk mencari kebenaran dan komitmen terhadapnya merupakan sikap baginda yang paling menonjol.

Lihatlah, baginda dilahirkan di tengah-tengah lingkungan keluarga bani Hasyim yang berkuasa dan berkedudukan. Baginda mendapat pemeliharaan dari tok wannya. yang belum pernah didapati oleh seorang pun dari keluarga itu semasa kanak-kanak. Ada satu senario, ketika bapa saudaranya bersiap-siap pergi berdagang ke Syam, tiba-tiba Muhammad kecil memeluk erat-erat kerana ingin ikut serta. Abu Talib merasa hiba lalu membawanya bersama lantaran hubungan yang amat rapat.

Namun, apakah keturunannya menghalang baginda dari memegang teguh kebenaran itu? Sekali-kali tidak. Layanan baik dari Abdul Mutallib dan Abu Talib ini, sudah sangat layak kalau membuat Muhammad mengikut agama yang dipeluk oleh kedua-duanya. Jiwa beliau tidak cenderung kepada hal-hal yang tidak benar. Malahan ketika menemui kebenaran Islam, Muhammad s.a.w.berpegang teguh kebenaran itu meskipun harus berhadapan dengan keluarga yang telah memeliharanya dengan baik.

Ahli IKRAM sekalian,
Ini lah contoh tingginya keyakinan dan keteguhan Rasulullah s.a.w. kepada kita dalam menghadapi mehnah masa kini. Dugaan yang dekat dengan kita walaupun berlatar-belakangkan keluarga Islam, tetapi ia tetap mencabar istiqamah dalam perjuangan. Mehnah berbentuk kesenangan, keselesaan dan pangkat ini, kadang-kadang menghambat kita ke usrah, hadir ke program-program yang disusun oleh jamaah malahan mesyuarat penting hal ehwal ummat pun kita letak di keutamaan kebelakang.

"Katakanlah: "Jika bapak-bapak, anak-anak, saudara-saudara, istri-istri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik."
At Taubah : 24.
Marilah kita menyambut Maulidur Rasul dengan menyemai cinta kepada amal harian, amal dakwah serta amal jama’i yang ditinggalkan oleh baginda s.a.w. Sesungguhnya apabila memasuki kubur, amal-amal kebaikan yang dicintai ini akan masuk bersama sebagai bekal penyelamat kita.
Amiin.

Monday, January 31, 2011

PERUTUSAN YDP IKRAM P PINANG SEMPENA TAHUN BARU CINA 2011

Melebarkan Dakwah Kepada Belum Islam

Assalamu ‘alaikum wbkt
Segala pujian bagi Allah Pencipta Masa. Selawat dan salam atas Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarganya dan para sahabat sehinggalah pejuang akhir zaman.

Ikhwah dan akhawat, ahli-ahli IKRAM yang dirahmati sekalian.
Tidak lama lagi seluruh rakyat Tionghua Malaysia akan menyambut Tahun Baru Cina. Mengikut kalendar kaum Cina, tahun ini ialah Tahun Arnab. Saya teringat kata-kata mantan YDP JIM Pulau Pinang Dr Danial,"..ahli JIM mesti bermuka arnab..". Maksudnya kita kena senyum selalu dan muka manis kepada mad’u. Bagi saya kata-kata itu masih dipakai lagi terutamanya kepada pendakwah.

Sempena menyambut cuti perayaan Tahun Baru Cina ini, eloklah kita melebar dakwah kita kepada masyarakat Tionghua. Ucaplah selamat tahun baru kepada rakan-rakan sekerja kaum Cina. Insya Allah, ia tidak melanggari syariat kerana sambutan ini tidak bersifat kepercayaan atau aqidah kaum Cina. Ia hanya adat budaya sahaja. Mudah-mudahan ini membuka pintu komunikasi yang selesa dengan mereka.

Saudara-saudari sekalian,
Kita ingin menghilangkan kegerunan kaum Cina (dan kaum lain juga) terhadap Islam. Kita juga mahu merealisasikan bahawa Islam adalah rahmat sekalian alam. Pertama, kita perlu ingat, apa urusan kita dengan mereka sekalipun ada tujuan dakwah.

Kaum Cina adalah kaum yang berpotensi besar untuk bakal menjadi kuasa ekonomi dunia. Kini kuasa Amerika sudah mengakuinya. Pengeluaran Kasar Negara China (Gross Domestic Product) telah menyaingi Jepun dan menjadi kuasa ekonomi yang kedua terbesar dunia. Bukan maksud saya dakwah untuk kepentingan kebendaan. Namun, jika dibandingkan mereka dengan kaum lain, mereka lebih terbuka tentang Islam. Mana tahu kuasa ekonomi merekalah yang membantu kemenangan dunia Islam nanti!

Insya Allah, pada tahun ini, JK Dakwah Belum Islam melalui Hidayah Centre akan menganjurkan majlis menyambut Tahun Baru Cina dengan meraikan rakan-rakan Tionghua setempat dengan makan-minum dan tarian Naga. Sama-samalah kita sertai dengan menjemput rakan-rakan sekerja. Biarlah mereka lihat keterbukaan kita dan tunjukkan akhlaq Islam sentiasa.

Mudah-mudahan akan tercapai 80% penduduk Pulau Pinang beragama Islam pada tahun 2020. Amiin.

"Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil."
Al Mumtahanah : 8

Wassalamu ‘alaikum.

Sunday, January 16, 2011

Review PS IKRAM Pulau Pinang



Salam alaik.
Alhamdulillah & barakallah ikhwah dan akhawat sekelaian.

Hari ini 16 Januari 2011 bermula jam 9.00 pagi sehingga hamper 2.00 petang bertempat di Pejabat IKRAM Pulau Pinang sedang berlangsung Review Perancangan Strategik IKRAM Pulau Pinang bersama wakil pusat.

Hampir kesemua exco IKRAM Negeri dan YDP Daerah hadir dalam sesi pembentangan perancangan strategik mengikut KRA masing masing. Manakala wakil pusat ialah terdiri dari akhi Zaid Kamarudin dan Yaakob. Juga bersama-sama kita adalah akhi Wan Muda dan Mohd Radhi Wahab dari IKRAM Perlis untuk membentangkan PS mereka selepas IKRAM Pulau Pinang.

Beberapa sesi pertanyaan dan penerangan telah berlaku dan negeri dikehendaki menyediakan blue print yang lengkap dengan diatur kembali KPI, tarikh, PIC dan catatan. Satu semakan awal akan dibuat pada bulan Jun 2011sebagi satu pemantauan. Suatu yang agak mencabar ialah untuk mencapai keahlian IKRAM seramai 1200 orang menjelang Disember 2011 yang telah disasarkan oleh Tabiah Negeri.

Ahli rasmi IKRAM Pulau Pinang sekarang adalah sejumlah 227 orang dan setiap daerah perlu memberi sasaran keahlian masing-masing dalam Jaulah YDP & Tarbiah ke daerah kelak. Sehingga sekarang daerah SPS, SPU dan SPT telah diziarahi dan daerah-daerah ini telah diminta memberi perancangan yang telah disusun-atur.


Dengan adanya perancangan yang sebegini akan memudahkan tugas-tugas ahli dan semoga seterusnya IKRAM akan lebih melonjak dan diterima dengan baik oleh masyarakat setempat malah ke tahap yang lebih tinggi lagi.

Monday, January 3, 2011

PERUTUSAN YDP IKRAM P PINANG SEMPENA TAHUN BARU 2011

PERUTUSAN YDP IKRAM P PINANG SEMPENA TAHUN BARU 2011
Melangkah Tahun Baru Dengan Lonjakan
Barisan Pimpinan IKRAM Negeri yang dedikasi. Semoga dipermudahkan segala kerja-buat dalam memikul amanah Tarbiah dan dakwah ini.

Assalamu ‘alaikum wbkt Segala pujian bagi Allah Pencipta Masa. Selawat dan salam atas Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarganya dan para sahabat sehinggalah pejuang akhir zaman.

Ikhwah dan akhawat, ahli-ahli IKRAM yang dirahmati sekalian.

Pada hari saya menulis nukilan ini, angka umur kita telah bertambah ‘1’ tahun. Ini bermakna umur kita semakin susut dan ‘khotimah’ kita semakin dekat. Apakah cukup bekalan pahala untuk akaun akhirat nanti? Itu untuk kita muhasabahkan. Namun dengan baki umur yang Allah simpan, yang lebih penting ialah apa pelan dan tindakan kita untuk menambah saham akhirat?

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
Al-Hasyr: 18

Saya pernah menulis artikel "Israk-mikraj kan Usia Anda" dalam Risalah Pemimpin JIM Jilid 8 tahun 2007. Rumusan penulisan tersebut ialah pendokong dakwah mesti lonjakkan amal melalui amal dakwah secara jama’i. Saya kira ini juga mampu menambah saham akhirat dan amal jama’i terus diimani dalam kelangsungan dakwah ini. Lanjutan dari itu, izinkan saya untuk sarankan sedikit beberapa langkah untuk IKRAM harungi tahun baru demi mencapai objektif tahun 2011.

Fokus kepada Keutamaan IKRAM. Perancangan Strategik IKRAM telah menggariskan apa tindakan dan sasaran yang perlu diraih untuk tahun 2011. Cubaan untuk cemerlang dalam semua sasaran selalunya akan menghasilkan pencapaian kelas kedua. Adalah lebih efektif untuk menumpu kepada sumber manusia yang terbatas namun mampu memberi keuntungan dakwah yang tinggi. Saya melihat KRA (Key Result Area) Tarbiah, Kebajikan Masyarakat dan Dakwah Masyarakat Majmuk wajar ditumpukan.

Berubah Secara Radikal. Natijah yang besar berhajatkan perubahan kerja-buat yang dramatik. IKRAM Pulau Pinang mempunyai keahlian seramai 227 orang yang berdaftar pada Disember 2010. Pada bulan Disember 2011, keahlian disasarkan akan meningkat kepada 1200 orang ahli! Bersandarkan kepada pendekatan yang sama serta kurang menguntungkan, tidak akan melonjakkan IKRAM. Kalau aktivisme IKRAM tertentu tidak berjaya menambah ahli baru IKRAM, sudah tentu aktivisme tersebut, pendekatannya dan mungkin penggeraknya sekali harus bertukar. Perubahan radikal mesti mula dari pemikiran, sikap dan corak amalan kita.

Bekerjasama dengan ‘Stakeholder’ Dalam melaksanakan kerja dakwah IKRAM, ‘stakeholder’ adalah sesiapa sahaja yang terkesan dengan kerja dakwah kita. Pemimpin masyarakat, masjid/surau, badan-badan kerajaan, waris sekolah kita, anak-anak usrah adalah mereka yang mesti di’engaged’ oleh penggerak IKRAM. Pemahaman dan kerjasama merekalah menjadi penentu kejayaan misi IKRAM. Penglibatan JIM dan IKRAM Pulau Pinang bersama Biro Dakwah YB Makhtar dan Pejabat Agama Kepala Batas adalah contoh yang baik.

Pantau Memantau. Perkara ini sering diabaikan, malahan telah manjadi kebiasaan organisasi NGO Islam. Selepas perlaksanaan berjalan perlu disusuli dengan pemantauan, samada arahan disempurnakan mengikut rancangan. Atau jika ada masalah, segera dapat diselesaikan. Jaulah Negeri ke Daerah-daerah adalah contoh yang baik. Pemantauan yang saya maksudkan di sini bersifat dua-hala. Orang atas pantau orang bawah yang melaksanakan arahan sementara orang bawah juga menegur selalu orang atas. Jika tidak dibudayakan aspek ini, kerja dakwah IKRAM akan ‘mati’ separuh jalan.

Akhir sekali, sempena tahun baru ini, marilah kita sama-sama tanam azam baru untuk melakukan sesuatu yang baru demi untuk kemaslahatan masyarakat di Pulau Pinang serta kebahagiaan hakiki di akhirat nanti.
"Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya."

Surah Ali Imran :159.


Oleh :
Ir Hj Jamaluddin Abdullah, YDP IKRAM Negeri Pulau Pinang