PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM) Negeri Pulau Pinang

PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM) Negeri Pulau Pinang
Brotherhood the Foundation of Glory
Showing posts with label Perutusan YDP IKRAM PP. Show all posts
Showing posts with label Perutusan YDP IKRAM PP. Show all posts

Thursday, March 10, 2011

Beberapa Pengajaran Kebangkitan Rakyat Mesir

PERUTUSAN YDP IKRAM PP :
Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Salawat dan salam kepada Pesuruh Allah, Muhammad saw serta kaum keluarga baginda dan sahabat-sahabat serta mereka yang menuruti mereka hingga ke hari kiamat.

Saudara saudari ahli IKRAM yang dirahmati Allah sekalian.
Mutakhir ini, saya percaya ahli-ahli IKRAM mengikuti perkembangan yang menarik di bumi anbiya’ Mesir. Setelah 30 tahun pemerintahan kuku besi menindas rakyat, akhirnya dengan percikan kesan kejatuhan kerajaan Tunisia, Presiden Hosni Mubarak berundur oleh tekanan rakyatnya sendiri pada 11hb.Februari 2011.

Dalam kemelut kebangkitan ini, diakui oleh media Barat, ‘the most well-organised movement in Egypt’, Ikhwan Muslimun mula menjadi perhatian dunia. Kita melihat betapa Ikhwan Muslimun telah mewar-warkan kepada dunia bahawa mereka tidak berminat untuk memerintah Mesir dan mereka hanya menyertai bantahan rakyat Mesir. Tetapi cuba anda fikirkan siapa yang mengatur dan bagaimana momentum demonstrasi seramai 3.5 juta di Medan Tahrir dapat berkekalan selama 18 hari tanpa surut sedikit pun. Bagaimana mereka mampu menggerakkan massa dengan berkesan dalam keadaan putusnya sistem komunikasi?

15 juta Rakyat Bangkit di Medan Tahrir
Sepanjang 18 hari pemberontakan, semua ahli Ikhwan dikerah tangguhkan usrah, sertai perhimpunan rakyat di Medan Tahrir dan pastikan seramai 2.5 juta manusia sentiasa memenuhi Medan Tahrir. Untuk memastikan momentum kebangkitan berterusan, setiap orang pemuda Ikhwan diarah supaya pastikan sentiasa berhubung dan gerakkan kenalan umum (hasil daripada Rabtul Aam atau khidmat masyarakat) seramai 50 orang sepanjang masa. Masya Allah! Sungguh hebat perencanaan Ikhwan sehingga sejumlah 15 juta rakyat Mesir dapat digerakkan mengikut syif tanpa disedari ! Malahan, organisasi mana yang selepas demonstrasi turut membersihkan jalan-jalanraya dan mengutip sampah di merata-rata tempat kalau bukan dari arahan yang bersumberkan iman dan tarbiah?

Subhanallah! Bagi saya, inilah hasil tarbiah yang berterusan di dalam saf Ikhwan Muslimun sendiri yang bertahun-tahun ditindas, dipenjara dan diancam. Dari kacamata saya, antara faktor kemenangan rakyat Mesir ini ialah kekuatan Pemuda Ikhwan yang berdisplin dan patuh pada perintah pimpinan atau naqib mereka. Perasan atau tidak, tiada sehelai bendera Ikhwan Muslimun yang dikibarkan? Usaha khidmat masyarakat yang telah diketahui umum juga menyumbang kepada kepercayaan rakyat kepada Ikhwan.



“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata. ” Surah Al Ahzab: 36

Saya sering menemui Ahli Teras IKRAM sendiri yang berkira-kira bila diwajibkan menyumbang wang ringgit. Ada yang belum dapat mengutamakan program Jamaah, bahkan saya melihat Ahli Teras dan Aktif belum dapat disusun dalam sof yang berdisiplin dan kemas. Kalau ada pun tidak mencukupi untuk menjadi influential force di dalam IKRAM. Namun, saya yakin dengan pertolongan Allah dan potensi yang ada jiwa ikhlas penggerak, IKRAM Pulau Pinang mampu mencipta Arus Baru meladeni masyarakat dan meratakan tarbiah ummah.

Pesanan Buat Penggerak
Marilah kita sama-sama jayakan projek “ Ahli IKRAM Pulau Pinang 1200 orang”. Bantu membantu supaya kesihatan kewangan IKRAM bertambah mantap. Tarbiah dan dakwah bertambah subur serta pantau berterusan . Kita telah menjadi saksi rijal yang berdisiplin mampu meruntuhkan kerajaan yang zalim.
Sekian, wassalam.
Oleh : Ir Hj Jamaluddin Abdulah

Monday, February 14, 2011

PERUTUSAN YDP IKRAM PP SEMPENA MAULIDUR RASUL

12 RABIUL AWAL, 1432 MASIHI

Segala puji bagi Allah Rabb semesta alam. Salawat dan salam kepada ar Rasul s.a.w. serta kaum keluarga baginda dan sahabat-sahabat dan yang menuruti mereka hingga ke hari kiamat.

Saudara saudari yang dirahmati Allah sekalian.
Seorang penulis dari Britain, Major Arthur Glyn Leonard dalam bukunya terbitan tahun 1909, 'Islam, Her Moral and Spiritual Values' berpendapat, "Kalau di bumi ini ada seorang yang mengenal tuhan dan mengikhlaskan diri kepadaNya, lalu menghabiskan semua kesempatan dan menggunakan seluruh potensinya untuk berbakti kepadaNya dengan tujuan yang mulia san pembelaan yang agung, tidak diragukan lagi, orang itu adalah Muhammad, .."

Saya hendak membawa satu contoh karakter yang mulia Nabi Muhammad s.a.w. untuk kita renungi. Ar Rasul s.a.w. dilahirkan dengan akhlaq dan keperibadian yang sempurna. Baginda tidak membiarkan dirinya didominasi oleh suasana sekeliling, bahkan keghairahan (enthusiasme) untuk mencari kebenaran dan komitmen terhadapnya merupakan sikap baginda yang paling menonjol.

Lihatlah, baginda dilahirkan di tengah-tengah lingkungan keluarga bani Hasyim yang berkuasa dan berkedudukan. Baginda mendapat pemeliharaan dari tok wannya. yang belum pernah didapati oleh seorang pun dari keluarga itu semasa kanak-kanak. Ada satu senario, ketika bapa saudaranya bersiap-siap pergi berdagang ke Syam, tiba-tiba Muhammad kecil memeluk erat-erat kerana ingin ikut serta. Abu Talib merasa hiba lalu membawanya bersama lantaran hubungan yang amat rapat.

Namun, apakah keturunannya menghalang baginda dari memegang teguh kebenaran itu? Sekali-kali tidak. Layanan baik dari Abdul Mutallib dan Abu Talib ini, sudah sangat layak kalau membuat Muhammad mengikut agama yang dipeluk oleh kedua-duanya. Jiwa beliau tidak cenderung kepada hal-hal yang tidak benar. Malahan ketika menemui kebenaran Islam, Muhammad s.a.w.berpegang teguh kebenaran itu meskipun harus berhadapan dengan keluarga yang telah memeliharanya dengan baik.

Ahli IKRAM sekalian,
Ini lah contoh tingginya keyakinan dan keteguhan Rasulullah s.a.w. kepada kita dalam menghadapi mehnah masa kini. Dugaan yang dekat dengan kita walaupun berlatar-belakangkan keluarga Islam, tetapi ia tetap mencabar istiqamah dalam perjuangan. Mehnah berbentuk kesenangan, keselesaan dan pangkat ini, kadang-kadang menghambat kita ke usrah, hadir ke program-program yang disusun oleh jamaah malahan mesyuarat penting hal ehwal ummat pun kita letak di keutamaan kebelakang.

"Katakanlah: "Jika bapak-bapak, anak-anak, saudara-saudara, istri-istri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik."
At Taubah : 24.
Marilah kita menyambut Maulidur Rasul dengan menyemai cinta kepada amal harian, amal dakwah serta amal jama’i yang ditinggalkan oleh baginda s.a.w. Sesungguhnya apabila memasuki kubur, amal-amal kebaikan yang dicintai ini akan masuk bersama sebagai bekal penyelamat kita.
Amiin.

Monday, January 31, 2011

PERUTUSAN YDP IKRAM P PINANG SEMPENA TAHUN BARU CINA 2011

Melebarkan Dakwah Kepada Belum Islam

Assalamu ‘alaikum wbkt
Segala pujian bagi Allah Pencipta Masa. Selawat dan salam atas Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarganya dan para sahabat sehinggalah pejuang akhir zaman.

Ikhwah dan akhawat, ahli-ahli IKRAM yang dirahmati sekalian.
Tidak lama lagi seluruh rakyat Tionghua Malaysia akan menyambut Tahun Baru Cina. Mengikut kalendar kaum Cina, tahun ini ialah Tahun Arnab. Saya teringat kata-kata mantan YDP JIM Pulau Pinang Dr Danial,"..ahli JIM mesti bermuka arnab..". Maksudnya kita kena senyum selalu dan muka manis kepada mad’u. Bagi saya kata-kata itu masih dipakai lagi terutamanya kepada pendakwah.

Sempena menyambut cuti perayaan Tahun Baru Cina ini, eloklah kita melebar dakwah kita kepada masyarakat Tionghua. Ucaplah selamat tahun baru kepada rakan-rakan sekerja kaum Cina. Insya Allah, ia tidak melanggari syariat kerana sambutan ini tidak bersifat kepercayaan atau aqidah kaum Cina. Ia hanya adat budaya sahaja. Mudah-mudahan ini membuka pintu komunikasi yang selesa dengan mereka.

Saudara-saudari sekalian,
Kita ingin menghilangkan kegerunan kaum Cina (dan kaum lain juga) terhadap Islam. Kita juga mahu merealisasikan bahawa Islam adalah rahmat sekalian alam. Pertama, kita perlu ingat, apa urusan kita dengan mereka sekalipun ada tujuan dakwah.

Kaum Cina adalah kaum yang berpotensi besar untuk bakal menjadi kuasa ekonomi dunia. Kini kuasa Amerika sudah mengakuinya. Pengeluaran Kasar Negara China (Gross Domestic Product) telah menyaingi Jepun dan menjadi kuasa ekonomi yang kedua terbesar dunia. Bukan maksud saya dakwah untuk kepentingan kebendaan. Namun, jika dibandingkan mereka dengan kaum lain, mereka lebih terbuka tentang Islam. Mana tahu kuasa ekonomi merekalah yang membantu kemenangan dunia Islam nanti!

Insya Allah, pada tahun ini, JK Dakwah Belum Islam melalui Hidayah Centre akan menganjurkan majlis menyambut Tahun Baru Cina dengan meraikan rakan-rakan Tionghua setempat dengan makan-minum dan tarian Naga. Sama-samalah kita sertai dengan menjemput rakan-rakan sekerja. Biarlah mereka lihat keterbukaan kita dan tunjukkan akhlaq Islam sentiasa.

Mudah-mudahan akan tercapai 80% penduduk Pulau Pinang beragama Islam pada tahun 2020. Amiin.

"Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil."
Al Mumtahanah : 8

Wassalamu ‘alaikum.

Monday, January 3, 2011

PERUTUSAN YDP IKRAM P PINANG SEMPENA TAHUN BARU 2011

PERUTUSAN YDP IKRAM P PINANG SEMPENA TAHUN BARU 2011
Melangkah Tahun Baru Dengan Lonjakan
Barisan Pimpinan IKRAM Negeri yang dedikasi. Semoga dipermudahkan segala kerja-buat dalam memikul amanah Tarbiah dan dakwah ini.

Assalamu ‘alaikum wbkt Segala pujian bagi Allah Pencipta Masa. Selawat dan salam atas Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarganya dan para sahabat sehinggalah pejuang akhir zaman.

Ikhwah dan akhawat, ahli-ahli IKRAM yang dirahmati sekalian.

Pada hari saya menulis nukilan ini, angka umur kita telah bertambah ‘1’ tahun. Ini bermakna umur kita semakin susut dan ‘khotimah’ kita semakin dekat. Apakah cukup bekalan pahala untuk akaun akhirat nanti? Itu untuk kita muhasabahkan. Namun dengan baki umur yang Allah simpan, yang lebih penting ialah apa pelan dan tindakan kita untuk menambah saham akhirat?

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
Al-Hasyr: 18

Saya pernah menulis artikel "Israk-mikraj kan Usia Anda" dalam Risalah Pemimpin JIM Jilid 8 tahun 2007. Rumusan penulisan tersebut ialah pendokong dakwah mesti lonjakkan amal melalui amal dakwah secara jama’i. Saya kira ini juga mampu menambah saham akhirat dan amal jama’i terus diimani dalam kelangsungan dakwah ini. Lanjutan dari itu, izinkan saya untuk sarankan sedikit beberapa langkah untuk IKRAM harungi tahun baru demi mencapai objektif tahun 2011.

Fokus kepada Keutamaan IKRAM. Perancangan Strategik IKRAM telah menggariskan apa tindakan dan sasaran yang perlu diraih untuk tahun 2011. Cubaan untuk cemerlang dalam semua sasaran selalunya akan menghasilkan pencapaian kelas kedua. Adalah lebih efektif untuk menumpu kepada sumber manusia yang terbatas namun mampu memberi keuntungan dakwah yang tinggi. Saya melihat KRA (Key Result Area) Tarbiah, Kebajikan Masyarakat dan Dakwah Masyarakat Majmuk wajar ditumpukan.

Berubah Secara Radikal. Natijah yang besar berhajatkan perubahan kerja-buat yang dramatik. IKRAM Pulau Pinang mempunyai keahlian seramai 227 orang yang berdaftar pada Disember 2010. Pada bulan Disember 2011, keahlian disasarkan akan meningkat kepada 1200 orang ahli! Bersandarkan kepada pendekatan yang sama serta kurang menguntungkan, tidak akan melonjakkan IKRAM. Kalau aktivisme IKRAM tertentu tidak berjaya menambah ahli baru IKRAM, sudah tentu aktivisme tersebut, pendekatannya dan mungkin penggeraknya sekali harus bertukar. Perubahan radikal mesti mula dari pemikiran, sikap dan corak amalan kita.

Bekerjasama dengan ‘Stakeholder’ Dalam melaksanakan kerja dakwah IKRAM, ‘stakeholder’ adalah sesiapa sahaja yang terkesan dengan kerja dakwah kita. Pemimpin masyarakat, masjid/surau, badan-badan kerajaan, waris sekolah kita, anak-anak usrah adalah mereka yang mesti di’engaged’ oleh penggerak IKRAM. Pemahaman dan kerjasama merekalah menjadi penentu kejayaan misi IKRAM. Penglibatan JIM dan IKRAM Pulau Pinang bersama Biro Dakwah YB Makhtar dan Pejabat Agama Kepala Batas adalah contoh yang baik.

Pantau Memantau. Perkara ini sering diabaikan, malahan telah manjadi kebiasaan organisasi NGO Islam. Selepas perlaksanaan berjalan perlu disusuli dengan pemantauan, samada arahan disempurnakan mengikut rancangan. Atau jika ada masalah, segera dapat diselesaikan. Jaulah Negeri ke Daerah-daerah adalah contoh yang baik. Pemantauan yang saya maksudkan di sini bersifat dua-hala. Orang atas pantau orang bawah yang melaksanakan arahan sementara orang bawah juga menegur selalu orang atas. Jika tidak dibudayakan aspek ini, kerja dakwah IKRAM akan ‘mati’ separuh jalan.

Akhir sekali, sempena tahun baru ini, marilah kita sama-sama tanam azam baru untuk melakukan sesuatu yang baru demi untuk kemaslahatan masyarakat di Pulau Pinang serta kebahagiaan hakiki di akhirat nanti.
"Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya."

Surah Ali Imran :159.


Oleh :
Ir Hj Jamaluddin Abdullah, YDP IKRAM Negeri Pulau Pinang

Wednesday, November 17, 2010

PERUTUSAN YDP IKRAM P PINANG SEMPENA EIDUL ADHA 2010

Tiada Pengorbanan Tiada Kemenangan

Assalamu ‘alaikum wbkt
Segala pujian bagi Allah yang telah mengurniakan 10 hari terbaik awal Zulhijjah kepada kita. Selawat dan salam atas Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarganya dan para sahabat sehinggalah pejuang akhir zaman.

Ikhwah dan akhawat, ahli-ahli IKRAM yang dirahmati sekalian.

Hari Raya Haji disambut dengan memperingati pengorbanan 4 insan hebat iaitu Nabi Ibrahim, isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail serta kisah Habil.
a) Siti Hajar berkorban berjauhan dengan suaminya Nabi Ibrahim kerana perjuangan.
b) Nabi Ibrahim yang melakukan perintah Allah tanpa soal iaitu menyembelih anaknya Nabi Ismail
c) Nabi Ismail yang merelakan dirinya disembelih bapanya demi ketaatan kepada perintah Allah
d) Habil anak Nabi Adam, menyediakan binatang ternakan yang terbaik sebagai persembahan kepada Allah.

Mungkin iman kita tidak setinggi mereka para Nabi, yang sentiasa bertambah dari hari ke hari. Iman kita yang tidak menentu jatuh bangunnya, sentiasa bertambah dan berkurang. Tetapi berusaha menjadi mu’min yang lebih baik dari semalam adalah merupakan akhlak yang mulia.. dan semestinya, ia memerlukan pengorbanan.

Pengorbanan membawa arti kesediaan memberi sesuatu yang disayangi untuk tujuan yang lebih tinggi atau lebih baik. Pengorbanan, Ketaatan dan Kesabaran adalah di antara tiga muasofat pendukung dakwah yang penting dalam perjuangan kita. Tanpa ketiga-tiga ciri ini perjuangan tidak akan mencapai kemenangan.

Kadangkala kita sering tertanya-tanya,”Dah lama dah aku berjuang, kenapa tak nampak hasil apa-apa pun?” Ini satu persoalan yang baik. Apakah Allah sengaja melambatkan kemenangan kerana belum cukup pengorbanan dari kita? Cukupkah sudah keletihan kita dalam pengorbanan ini? Mungkin kita beri sumbangan bukan yang kita sayangi malahan kita berkira-kira pulak untuk memberi yang terbaik kepada jamaah.

Apakah cukup tinggi ketaatan kita kepada qiadah? Adakah ikut perintah samata-mata apa yang boleh buat bukan apa yang disuruh buat? Siti Hajar menurut perintah suaminya Nabi Ibrahim tanpa merungut. Padahal berapa kali hati kecil kita menyoal, ”Kenapa mesti semuanya aku yang kena buat? Tak ada orang lain kah?”

Apabila kita mengutamakan Allah dalam hidup kita, kita bersedia meletakkan kepentingan lain di keutamaan kedua, ketiga dan seterusnya. Bila kita memberi masa , tenaga, harta dan buah fikiran untuk melaksanakan ketetapan jamaah sehingga kita letih, sehingga kesusahan mengulit diri maka saya yakin bibit kemenangan akan dirasai.

Bila kemenangan demi kemenangan kecil menyusul, tunggulah kemenangan besar. Pada ketika itu, benarlah janji Allah,
“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”
(Muhammad: 7)

Ismail a.s. adalah ‘dunia kesayangan’ Ibrahim a.s., apakah ‘Ismail’ kita dan bersediakah kita mengorbankannya di jalan Allah?

Mudah-mudahan Hari Raya Qurban tahun ini, memberi motivasi kepada kita supaya dapat mempertingkatkan lagi keimanan, ketaatan, pengorbanan dan kesabaran.

Thursday, November 11, 2010

PERUTUSAN YDP IKRAM PP: Menyantuni Mangsa Banjir

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Salawat dan salam kepada Pesuruh Allah, Muhammad s.a.w. serta kaum keluarga baginda dan sahabat-sahabat serta mereka yang menuruti mereka hingga ke hari kiamat.

Saudara saudari yang dirahmati Allah sekalian.
Baru-baru ini, negeri-negeri di utara semenanjung Malaysia dilanda musibah banjir. Hujan lebat yang diukur dengan kepekatan curahan melebihi 100 tahun adalah tempias dari taufan Megi. Ia menimpa negera-negara Asia Tenggara sejak akhir bulan Oktober lagi dan kesan banjirnya dirasai di negeri Kedah dan Perlis. Seramai lebih 20,000 penduduk negeri tersebut terpaksa berpindah ke Pusat Penempatan sementara ribuan rumah-rumah yang tenggelam akibat limpahan hujan.

Di antara rumah-rumah yang terlibat termasuklah rumah ahli-ahli IKRAM sendiri malahan juga rumah ayahanda dan bonda mereka di kampung-kampung. Bebanan yang mereka tanggungi amatlah berat. Kata pepatah orang Melayu, “Berat Mata Memandang, Berat Lagi Bahu Memikul”. Saya sendiri berpeluang bersama DERU IKRAM Pulau Pinang membantu bersihkan beberapa buah rumah di Taman Jitra. Keadaan di sana umpama zon perang! Masya Allah! Saya dapat merasai penderitaan dan kerugian yang ditanggung oleh mereka. Bayangkan jika semua peralatan dan barangan asas seisi rumah rosak dan tidak boleh diguna langsung.


Hamizat Ahmad empat dari kiri Ketua Misi sedang memberi taklimat kepada sebahagian dari sukarelawan DERU IKRAM PP.

Moto IKRAM, “Ukhuwwah Teras Kegemilangan” menguji pegangan kita. Salah satu ciri ukhuwwah atau persaudaraan ialah bertolong-tolongan dalam kebajikan. Kita yakin dengan firman Allah s.w.t: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya”. – al Maaidah: 2


Salah satu tanda-tanda orang bersyukur ialah menggunakan nikmat pemberian Allah kepada jalan yang benar. Bukankah nikmat sihat tubuh badan adalah pemberian Allah? Bukankah Iman, Islam dan Ukhuwwah itu satu nikmat terbesar Allah kepada kita?

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". – Ibrahim : 7

Maka saya menyeru kepada semua ahli IKRAM, sebagaimana petikan dari ayat 267, Surah al-Baqarah :“Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu nafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mau mengambilnya melainkan dengan memicingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahwa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”
Hulurkanlah , samada anda senang atau susah, apa bentuk bantuan pun samada besar atau kecil, lapangkanlah masa untuk turun membantu sahabat-sahabat IKRAM, ahli keluarga mereka atau masyarakat setempat. Kerja membantu amat terbuka luas, samada sumbangan wang ringgit, pakaian malahan tulang empat kerat saudara/i pun amat-amat diperlukan. Sesungguhnya, di sana ada tarbiyah, di sana ada pengalaman bekerja amal jama’i dan di sana juga ada ukhuwwah.



Ayuh! Inilah masanya kita mempraktikkan teori-teori yang dibincang di dalam halaqah dan usrah. Mudah-mudahan Allah ganjari kita pahala istimewa lebih-lebih lagi pada 10 hari awal Zulhijjah ini.

“Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).” – Hadith Imam Bukhari
Oleh : Ir Hj Jamaluddin Abdullah

Friday, September 10, 2010

Ucapan YDP IKRAM Pulau Pinang Sempena Hari Raya.

Dari kiri; Ust Rozee TYDP IRAM SPT, Hj Taufek YDP JIM PP, Rosli Rashid, Rusli Hashim & Ir Hj Jamaluddin YDP IKRAM PP.
Di kesempatan ini, pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada saudara semua kerana kita telah berjaya melalui satu sesi latihan dalam madrasah ramadan tahun ini.

Kita telah menekan nafsu untuk meninggalkan kepentingan duniawi dan memberi laluan kepada amalan untuk bekalan ukhrawi. Jika diimbau kembali, banyak juga amalan dapat kita lakukan dengan mudah walaupun sebulan sebelumnya ia tidak semudah itu.

Perginya Ramadan tidak bermakna tamatnya aktiviti berpuasa kerana kita sentiasa dianjurkan untuk berpuasa 6 Syawal, setiap Isnin dan Khamis, hari Arafah dan sebagainya.

Saya juga menyeru diri saya dan ahli-ahli IKRAM teruskan solat berjamaah, dekatkan diri dengan al Quran dan terus bersedeqah.

Tahun yang mendatang ini akan menuntut jiwa-jiwa yang ikhlas dan lebih pengorbanan untuk menjayakan visi dan misi IKRAM baik susah atau senang, memetakan IKRAM di persada masyarakat di samping membina saf-saf dalam sistem tarbiah manhaj Rasulullah saw.

Akhir sekali sebagai YDP, saya memohon ampun maaf atas salah silap serta kekurangan diri. Selamat Menyambut Hari Raya Eidul Fitri.

Wednesday, August 11, 2010

Pahala Ramadhan Diraihi Tahun Ini Tidak Rugi Lagi

PERUTUSAN YDP IKRAM P PINANG SEMPENA RAMADHAN 2010

Assalamu ‘alaikum wbkt. Segala pujian bagi Allah yang telah menemukan Ramadhan kepada kita. Selawat dan salam atas Nabi Muhammad saw yang mewariskan sunnahnya sebagai panduan.

Ahlan wa Sahlan,Ya Ramadhan. Bulan yang disambut dengan gembira oleh para mukminin. Bersyukurlah kerana kita berada di bulan pesta ibadah pada tahun Hijrah 1431 yang menandakan Allah memberi peluang kepada kita untuk menghapus dosa dan menambah pahala kebajikan. Sabda Rasulullah s.a.w "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keinsafan dan keimanan, diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu."

Ikhwah dan akhawat yang dirahmati sekalian. Dalam konteks jamaah IKRAM yang menjadikan tarbiah unsur penting untuk kelestarian perjuangan Islam, saya menyeru diri saya dan ahli IKRAM semua agar di bulan puasa tahun ini kita :-

a) Hidup dan kemaskan amal yaumiah. Jangan lupa ma’thurat kubra, solat subuh berjamaah, solat-solat sunat dan lain-lain yang termaktub di dalam senarai semak usrah kita.

b) Kaji al Quran. Kita tidak harus berpuas hati sekadar berjaya khatam Quran, malahan bagi saya, menela’ah kitab-kitab tafsir membuka pintu keberkatan Ramadhan ini.

c) Ziarah menziarahi anak-anak usrah, kaum keluarga dan ahli-ahli IKRAM. Ini peluang kita menambah ukhuwwah yang menjadi teras kekuatan IKRAM.

d) Banyakkanlah taubat yang ikhlas kepada Allah. Galakkan bangun awal untuk solat tahajjud minta keampunan dari Allah. Doa maqbul ketika keseorangan di malam yang hening. Suasana begini menambahkan rasa kerdil diri dan membuat kita khusyuk dalam kemanisan solat.

e) Banyakkan bersedekah, anjur program sumbangan fakir miskin dan jamu mereka berbuka. Pahala mereka berpuasa, Allah tidak akan kurangkan sedikit pun untuk kita.

f) Muhasabah diri, mengimbau kembali kelalaian kita dalam ibadah, terlepas pandang amanah menggalas tarbiah dan memacu dakwah.

g) Tetapkan beberapa objektif yang-perlu dicapai dalam bulan yang berkat ni. Contohnya, "Aku akan menghabiskan menghafaz surah al-Mulk, surah as Sajdah." Mungkin juga azam untuk bangun solat tahajjud selang sehari pun satu idea yang baik. Meletakkan sasaran objektif dapat memberi motivasi untuk cemerlang dalam ibadah Ramadhan tahun ni.

Ahli IKRAM yang dikasihi sekalian. Akhir sekali, sepanjang bulan ini lazimkan lidah berdoa yang tidak semestinya selepas solat sahaja, “Ya Allah! Aku memohon redha Mu dan syurga. Aku berlindung dengan Mu dari keperitan dan azab api neraka.” Mudah-mudahan ini menjadi persediaan untuk meningkatkan lagi kekebalan iman dan taqwa. Melonjakkan lagi usaha memacu dakwah tarbiah IKRAM dan memimpin ummah.


YDP IKRAM Pulau Pinang :
Ir Hj Jamaluddin Abdullah

9 Ogos 2010

Monday, July 12, 2010

IKRAM Untuk Semua.


Perutusan YDP IKRAM Pulau Pinang

Assalamu'alaikum wbkth. "Inna akromakum 'indallahi atqokum" Sesungguhnya orang yang paling ikram di antara kamu di sisi Allah ialah orang paling bertaqwa di antara kamu. - Al Hujuraat:15 Alhamdulillah! Setinggi pujian bagi Allah ta'ala kerana pada tanggal 20hb Jun 2010 mengizinkan perlancaran rasmi pertubuhan IKRAM di bumi Malaysia ini.

IKRAM bukan bermula dengan kosong kerana ahli dan tenaga penggeraknya sudah bertahun-tahun melalui tarbiah dan berpengalaman luas di medan bersama masyarakat. IKRAM muncul pada ketika umat dilanda masalah sosial yang kritikal. IKRAM muncul pada ketika rakyat Malaysia dahagakan keadilan malahan ketika mana umat Islam mengalami kekaburan aqidah.
Majlis Penerangan IKRAM di Dewan Seminar Masjid Seberang Jaya. Di hadapan sekali ialah SUN IKRAM PP sdr Isahak Ismail.

Lantas, dengan senario yang gawat ini, adalah menjadi tugas ahli IKRAM menyantuni (engage) masyarakat muslim dan bukan-muslim. Pecahkan tembok kejahilan Islam. Tambat hati mereka, semai aqidah salimah dan bina akhlaq yang ikram. Dalam masa yang sama melahirkan barisan naqib/ah yang bersedia mentarbiah untuk berkembang.

Sebahagian dari rombangan IKRAM PP di hari Perjancaran IKRAM bersama JKP IKRAM pada tanggal 20 Jun 2010 di Malaysia International Exhibition and Convention Centre, Seri Kembangan.
Akhir kalam, saya menyeru IKRAM supaya bergerak di dalam masyarakat atas neraca tarbiah. Tingkatkan kemampuan diri samada ruhiyah, aqal mahu pun jasmani. Kita alu-alukan segenap lapisan masyarakat Islam mendaftar sebagai ahli IKRAM. Semoga Allah memberkati kita.

"IKRAM Untuk Semua".


Ir Hj Jamaluddin Abdullah