PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM) Negeri Pulau Pinang

PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM) Negeri Pulau Pinang
Brotherhood the Foundation of Glory

Thursday, December 15, 2011

REHLAH IKRAMTeens Penang



Terbuka untuk alumni IKRAMTeens, KBM, Remaja Pulau Pinang & anak2 ahli IKRAM

Tarikh: 17 Disember 2011 (Sabtu)

Tempat: Hutan Rekreasi Ceruk Tok Kun, Bukit Mertajam

Terbuka Remaja: 13 - 17 Tahun sahaja

Aturcara program
10.30 - 11.30 pagi : Panjat Bukit
11.30 - 1.15 petang : Halalan Toyibah
1.15 - 2.00 petang : Solat /tazkirah
2.00 - 3.00 petang : Basic Life Support 911
3.00 - 4.00 petang : Turun bukit.
4.00 petang : Majlis penutupan

Untuk pendaftaran hubungi :

Khairilazhar 013-4891004
Latifah Bee 013-4383131


Tarikh tutup pendaftaran : 16/12/2011 (Jumaat)

TERHAD UNTUK 50 ORANG YURAN .:: PERCUMA ::.

Khairilazhar Bin Karim

Setiausaha KerjaAktivis Remaja IKRAM PULAU PINANG


Email : krjmotivation@yahoo.com / azharin84@yahoo.com

Tel :0134891004

Friday, July 1, 2011

Hendak Kebaikan Pimpinan Mesti Bijaksana

Ini peranan kita ahli IKRAM di mana sahaja amalan fardhu sentiasa dititik-beratkan.


Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi suatu kaum maka dijadikan pemimpin-pemimpin mereka orang-orang yang bijaksana dan dijadikan ulama-ulama mereka menangani hukum dan peradilan. Juga Allah jadikan harta-benda di tangan orang-orang yang dermawan. Namun, jika Allah menghendaki keburukan bagi suatu kaum maka Dia menjadikan pemimpin-pemimpin mereka orang-orang yang berakhlak rendah. DijadikanNya orang-orang dungu yang menangani hukum dan peradilan, dan harta berada di tangan orang-orang kikir. (HR. Ad-Dailami)

Bagaimana suasana kita sekarang? Bagaimana pimpinan kita sekarang? Bagaimana ulama kita sekarang? Jika jawapannya baik alhamdulillah, jika tidak maka kita mesti buat sesuatu dan tidak berdiam diri sahaja. Berdosa jika kita berdiam diri sedangkan mungkar berterusan.


Mereka anak muda ini perlu dipantau dan diberi tarbiah agar penerusan dakwah ini terancang walaupu kita generasi tua ini telah tiada.


Apatah lagi sebagai ahli IKRAM, ahli jamaah yang pentingkan tarbiah dan dakwah ini. Usrah mingguan menjadi wajib, daurah menjadi wajib, katiba wajib, muqayam wajib dan begitulah seterusnya. Hairan masih ada yang fobia dengan muqayam. Ia bukan mendera tetapi mendidik. Mungkin dahulu sudah jenuh dan sekarang perlu rehat. Walaupun ada di kalangan kita yang agak berusia tetapi bukan penghalang untuk bergerak aktif dalam dakwah. Buatlah sesuai dengan kapasiti dan usia kita. Jika tidak mampu terjun di medan jadilah mentor dalam merancang aktiviti, jadi AJK, jadi seorang yang dermawan, jadi orang tua yang bijaksana yang mendamaikan suasana. Cuma jangan duduk sahaja di dalam lingkungan zon selesa sahaja.

Semoga Allah SWT mengizinkan kita ceria dalam beramal dan istiqamah bersama IKRAM. Ya ikhwah istiraqat bulan ini sudah bayar ke?

Thursday, March 10, 2011

Beberapa Pengajaran Kebangkitan Rakyat Mesir

PERUTUSAN YDP IKRAM PP :
Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Salawat dan salam kepada Pesuruh Allah, Muhammad saw serta kaum keluarga baginda dan sahabat-sahabat serta mereka yang menuruti mereka hingga ke hari kiamat.

Saudara saudari ahli IKRAM yang dirahmati Allah sekalian.
Mutakhir ini, saya percaya ahli-ahli IKRAM mengikuti perkembangan yang menarik di bumi anbiya’ Mesir. Setelah 30 tahun pemerintahan kuku besi menindas rakyat, akhirnya dengan percikan kesan kejatuhan kerajaan Tunisia, Presiden Hosni Mubarak berundur oleh tekanan rakyatnya sendiri pada 11hb.Februari 2011.

Dalam kemelut kebangkitan ini, diakui oleh media Barat, ‘the most well-organised movement in Egypt’, Ikhwan Muslimun mula menjadi perhatian dunia. Kita melihat betapa Ikhwan Muslimun telah mewar-warkan kepada dunia bahawa mereka tidak berminat untuk memerintah Mesir dan mereka hanya menyertai bantahan rakyat Mesir. Tetapi cuba anda fikirkan siapa yang mengatur dan bagaimana momentum demonstrasi seramai 3.5 juta di Medan Tahrir dapat berkekalan selama 18 hari tanpa surut sedikit pun. Bagaimana mereka mampu menggerakkan massa dengan berkesan dalam keadaan putusnya sistem komunikasi?

15 juta Rakyat Bangkit di Medan Tahrir
Sepanjang 18 hari pemberontakan, semua ahli Ikhwan dikerah tangguhkan usrah, sertai perhimpunan rakyat di Medan Tahrir dan pastikan seramai 2.5 juta manusia sentiasa memenuhi Medan Tahrir. Untuk memastikan momentum kebangkitan berterusan, setiap orang pemuda Ikhwan diarah supaya pastikan sentiasa berhubung dan gerakkan kenalan umum (hasil daripada Rabtul Aam atau khidmat masyarakat) seramai 50 orang sepanjang masa. Masya Allah! Sungguh hebat perencanaan Ikhwan sehingga sejumlah 15 juta rakyat Mesir dapat digerakkan mengikut syif tanpa disedari ! Malahan, organisasi mana yang selepas demonstrasi turut membersihkan jalan-jalanraya dan mengutip sampah di merata-rata tempat kalau bukan dari arahan yang bersumberkan iman dan tarbiah?

Subhanallah! Bagi saya, inilah hasil tarbiah yang berterusan di dalam saf Ikhwan Muslimun sendiri yang bertahun-tahun ditindas, dipenjara dan diancam. Dari kacamata saya, antara faktor kemenangan rakyat Mesir ini ialah kekuatan Pemuda Ikhwan yang berdisplin dan patuh pada perintah pimpinan atau naqib mereka. Perasan atau tidak, tiada sehelai bendera Ikhwan Muslimun yang dikibarkan? Usaha khidmat masyarakat yang telah diketahui umum juga menyumbang kepada kepercayaan rakyat kepada Ikhwan.



“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata. ” Surah Al Ahzab: 36

Saya sering menemui Ahli Teras IKRAM sendiri yang berkira-kira bila diwajibkan menyumbang wang ringgit. Ada yang belum dapat mengutamakan program Jamaah, bahkan saya melihat Ahli Teras dan Aktif belum dapat disusun dalam sof yang berdisiplin dan kemas. Kalau ada pun tidak mencukupi untuk menjadi influential force di dalam IKRAM. Namun, saya yakin dengan pertolongan Allah dan potensi yang ada jiwa ikhlas penggerak, IKRAM Pulau Pinang mampu mencipta Arus Baru meladeni masyarakat dan meratakan tarbiah ummah.

Pesanan Buat Penggerak
Marilah kita sama-sama jayakan projek “ Ahli IKRAM Pulau Pinang 1200 orang”. Bantu membantu supaya kesihatan kewangan IKRAM bertambah mantap. Tarbiah dan dakwah bertambah subur serta pantau berterusan . Kita telah menjadi saksi rijal yang berdisiplin mampu meruntuhkan kerajaan yang zalim.
Sekian, wassalam.
Oleh : Ir Hj Jamaluddin Abdulah

Monday, February 14, 2011

PERUTUSAN YDP IKRAM PP SEMPENA MAULIDUR RASUL

12 RABIUL AWAL, 1432 MASIHI

Segala puji bagi Allah Rabb semesta alam. Salawat dan salam kepada ar Rasul s.a.w. serta kaum keluarga baginda dan sahabat-sahabat dan yang menuruti mereka hingga ke hari kiamat.

Saudara saudari yang dirahmati Allah sekalian.
Seorang penulis dari Britain, Major Arthur Glyn Leonard dalam bukunya terbitan tahun 1909, 'Islam, Her Moral and Spiritual Values' berpendapat, "Kalau di bumi ini ada seorang yang mengenal tuhan dan mengikhlaskan diri kepadaNya, lalu menghabiskan semua kesempatan dan menggunakan seluruh potensinya untuk berbakti kepadaNya dengan tujuan yang mulia san pembelaan yang agung, tidak diragukan lagi, orang itu adalah Muhammad, .."

Saya hendak membawa satu contoh karakter yang mulia Nabi Muhammad s.a.w. untuk kita renungi. Ar Rasul s.a.w. dilahirkan dengan akhlaq dan keperibadian yang sempurna. Baginda tidak membiarkan dirinya didominasi oleh suasana sekeliling, bahkan keghairahan (enthusiasme) untuk mencari kebenaran dan komitmen terhadapnya merupakan sikap baginda yang paling menonjol.

Lihatlah, baginda dilahirkan di tengah-tengah lingkungan keluarga bani Hasyim yang berkuasa dan berkedudukan. Baginda mendapat pemeliharaan dari tok wannya. yang belum pernah didapati oleh seorang pun dari keluarga itu semasa kanak-kanak. Ada satu senario, ketika bapa saudaranya bersiap-siap pergi berdagang ke Syam, tiba-tiba Muhammad kecil memeluk erat-erat kerana ingin ikut serta. Abu Talib merasa hiba lalu membawanya bersama lantaran hubungan yang amat rapat.

Namun, apakah keturunannya menghalang baginda dari memegang teguh kebenaran itu? Sekali-kali tidak. Layanan baik dari Abdul Mutallib dan Abu Talib ini, sudah sangat layak kalau membuat Muhammad mengikut agama yang dipeluk oleh kedua-duanya. Jiwa beliau tidak cenderung kepada hal-hal yang tidak benar. Malahan ketika menemui kebenaran Islam, Muhammad s.a.w.berpegang teguh kebenaran itu meskipun harus berhadapan dengan keluarga yang telah memeliharanya dengan baik.

Ahli IKRAM sekalian,
Ini lah contoh tingginya keyakinan dan keteguhan Rasulullah s.a.w. kepada kita dalam menghadapi mehnah masa kini. Dugaan yang dekat dengan kita walaupun berlatar-belakangkan keluarga Islam, tetapi ia tetap mencabar istiqamah dalam perjuangan. Mehnah berbentuk kesenangan, keselesaan dan pangkat ini, kadang-kadang menghambat kita ke usrah, hadir ke program-program yang disusun oleh jamaah malahan mesyuarat penting hal ehwal ummat pun kita letak di keutamaan kebelakang.

"Katakanlah: "Jika bapak-bapak, anak-anak, saudara-saudara, istri-istri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik."
At Taubah : 24.
Marilah kita menyambut Maulidur Rasul dengan menyemai cinta kepada amal harian, amal dakwah serta amal jama’i yang ditinggalkan oleh baginda s.a.w. Sesungguhnya apabila memasuki kubur, amal-amal kebaikan yang dicintai ini akan masuk bersama sebagai bekal penyelamat kita.
Amiin.

Monday, January 31, 2011

PERUTUSAN YDP IKRAM P PINANG SEMPENA TAHUN BARU CINA 2011

Melebarkan Dakwah Kepada Belum Islam

Assalamu ‘alaikum wbkt
Segala pujian bagi Allah Pencipta Masa. Selawat dan salam atas Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarganya dan para sahabat sehinggalah pejuang akhir zaman.

Ikhwah dan akhawat, ahli-ahli IKRAM yang dirahmati sekalian.
Tidak lama lagi seluruh rakyat Tionghua Malaysia akan menyambut Tahun Baru Cina. Mengikut kalendar kaum Cina, tahun ini ialah Tahun Arnab. Saya teringat kata-kata mantan YDP JIM Pulau Pinang Dr Danial,"..ahli JIM mesti bermuka arnab..". Maksudnya kita kena senyum selalu dan muka manis kepada mad’u. Bagi saya kata-kata itu masih dipakai lagi terutamanya kepada pendakwah.

Sempena menyambut cuti perayaan Tahun Baru Cina ini, eloklah kita melebar dakwah kita kepada masyarakat Tionghua. Ucaplah selamat tahun baru kepada rakan-rakan sekerja kaum Cina. Insya Allah, ia tidak melanggari syariat kerana sambutan ini tidak bersifat kepercayaan atau aqidah kaum Cina. Ia hanya adat budaya sahaja. Mudah-mudahan ini membuka pintu komunikasi yang selesa dengan mereka.

Saudara-saudari sekalian,
Kita ingin menghilangkan kegerunan kaum Cina (dan kaum lain juga) terhadap Islam. Kita juga mahu merealisasikan bahawa Islam adalah rahmat sekalian alam. Pertama, kita perlu ingat, apa urusan kita dengan mereka sekalipun ada tujuan dakwah.

Kaum Cina adalah kaum yang berpotensi besar untuk bakal menjadi kuasa ekonomi dunia. Kini kuasa Amerika sudah mengakuinya. Pengeluaran Kasar Negara China (Gross Domestic Product) telah menyaingi Jepun dan menjadi kuasa ekonomi yang kedua terbesar dunia. Bukan maksud saya dakwah untuk kepentingan kebendaan. Namun, jika dibandingkan mereka dengan kaum lain, mereka lebih terbuka tentang Islam. Mana tahu kuasa ekonomi merekalah yang membantu kemenangan dunia Islam nanti!

Insya Allah, pada tahun ini, JK Dakwah Belum Islam melalui Hidayah Centre akan menganjurkan majlis menyambut Tahun Baru Cina dengan meraikan rakan-rakan Tionghua setempat dengan makan-minum dan tarian Naga. Sama-samalah kita sertai dengan menjemput rakan-rakan sekerja. Biarlah mereka lihat keterbukaan kita dan tunjukkan akhlaq Islam sentiasa.

Mudah-mudahan akan tercapai 80% penduduk Pulau Pinang beragama Islam pada tahun 2020. Amiin.

"Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil."
Al Mumtahanah : 8

Wassalamu ‘alaikum.

Sunday, January 16, 2011

Review PS IKRAM Pulau Pinang



Salam alaik.
Alhamdulillah & barakallah ikhwah dan akhawat sekelaian.

Hari ini 16 Januari 2011 bermula jam 9.00 pagi sehingga hamper 2.00 petang bertempat di Pejabat IKRAM Pulau Pinang sedang berlangsung Review Perancangan Strategik IKRAM Pulau Pinang bersama wakil pusat.

Hampir kesemua exco IKRAM Negeri dan YDP Daerah hadir dalam sesi pembentangan perancangan strategik mengikut KRA masing masing. Manakala wakil pusat ialah terdiri dari akhi Zaid Kamarudin dan Yaakob. Juga bersama-sama kita adalah akhi Wan Muda dan Mohd Radhi Wahab dari IKRAM Perlis untuk membentangkan PS mereka selepas IKRAM Pulau Pinang.

Beberapa sesi pertanyaan dan penerangan telah berlaku dan negeri dikehendaki menyediakan blue print yang lengkap dengan diatur kembali KPI, tarikh, PIC dan catatan. Satu semakan awal akan dibuat pada bulan Jun 2011sebagi satu pemantauan. Suatu yang agak mencabar ialah untuk mencapai keahlian IKRAM seramai 1200 orang menjelang Disember 2011 yang telah disasarkan oleh Tabiah Negeri.

Ahli rasmi IKRAM Pulau Pinang sekarang adalah sejumlah 227 orang dan setiap daerah perlu memberi sasaran keahlian masing-masing dalam Jaulah YDP & Tarbiah ke daerah kelak. Sehingga sekarang daerah SPS, SPU dan SPT telah diziarahi dan daerah-daerah ini telah diminta memberi perancangan yang telah disusun-atur.


Dengan adanya perancangan yang sebegini akan memudahkan tugas-tugas ahli dan semoga seterusnya IKRAM akan lebih melonjak dan diterima dengan baik oleh masyarakat setempat malah ke tahap yang lebih tinggi lagi.

Monday, January 3, 2011

PERUTUSAN YDP IKRAM P PINANG SEMPENA TAHUN BARU 2011

PERUTUSAN YDP IKRAM P PINANG SEMPENA TAHUN BARU 2011
Melangkah Tahun Baru Dengan Lonjakan
Barisan Pimpinan IKRAM Negeri yang dedikasi. Semoga dipermudahkan segala kerja-buat dalam memikul amanah Tarbiah dan dakwah ini.

Assalamu ‘alaikum wbkt Segala pujian bagi Allah Pencipta Masa. Selawat dan salam atas Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarganya dan para sahabat sehinggalah pejuang akhir zaman.

Ikhwah dan akhawat, ahli-ahli IKRAM yang dirahmati sekalian.

Pada hari saya menulis nukilan ini, angka umur kita telah bertambah ‘1’ tahun. Ini bermakna umur kita semakin susut dan ‘khotimah’ kita semakin dekat. Apakah cukup bekalan pahala untuk akaun akhirat nanti? Itu untuk kita muhasabahkan. Namun dengan baki umur yang Allah simpan, yang lebih penting ialah apa pelan dan tindakan kita untuk menambah saham akhirat?

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
Al-Hasyr: 18

Saya pernah menulis artikel "Israk-mikraj kan Usia Anda" dalam Risalah Pemimpin JIM Jilid 8 tahun 2007. Rumusan penulisan tersebut ialah pendokong dakwah mesti lonjakkan amal melalui amal dakwah secara jama’i. Saya kira ini juga mampu menambah saham akhirat dan amal jama’i terus diimani dalam kelangsungan dakwah ini. Lanjutan dari itu, izinkan saya untuk sarankan sedikit beberapa langkah untuk IKRAM harungi tahun baru demi mencapai objektif tahun 2011.

Fokus kepada Keutamaan IKRAM. Perancangan Strategik IKRAM telah menggariskan apa tindakan dan sasaran yang perlu diraih untuk tahun 2011. Cubaan untuk cemerlang dalam semua sasaran selalunya akan menghasilkan pencapaian kelas kedua. Adalah lebih efektif untuk menumpu kepada sumber manusia yang terbatas namun mampu memberi keuntungan dakwah yang tinggi. Saya melihat KRA (Key Result Area) Tarbiah, Kebajikan Masyarakat dan Dakwah Masyarakat Majmuk wajar ditumpukan.

Berubah Secara Radikal. Natijah yang besar berhajatkan perubahan kerja-buat yang dramatik. IKRAM Pulau Pinang mempunyai keahlian seramai 227 orang yang berdaftar pada Disember 2010. Pada bulan Disember 2011, keahlian disasarkan akan meningkat kepada 1200 orang ahli! Bersandarkan kepada pendekatan yang sama serta kurang menguntungkan, tidak akan melonjakkan IKRAM. Kalau aktivisme IKRAM tertentu tidak berjaya menambah ahli baru IKRAM, sudah tentu aktivisme tersebut, pendekatannya dan mungkin penggeraknya sekali harus bertukar. Perubahan radikal mesti mula dari pemikiran, sikap dan corak amalan kita.

Bekerjasama dengan ‘Stakeholder’ Dalam melaksanakan kerja dakwah IKRAM, ‘stakeholder’ adalah sesiapa sahaja yang terkesan dengan kerja dakwah kita. Pemimpin masyarakat, masjid/surau, badan-badan kerajaan, waris sekolah kita, anak-anak usrah adalah mereka yang mesti di’engaged’ oleh penggerak IKRAM. Pemahaman dan kerjasama merekalah menjadi penentu kejayaan misi IKRAM. Penglibatan JIM dan IKRAM Pulau Pinang bersama Biro Dakwah YB Makhtar dan Pejabat Agama Kepala Batas adalah contoh yang baik.

Pantau Memantau. Perkara ini sering diabaikan, malahan telah manjadi kebiasaan organisasi NGO Islam. Selepas perlaksanaan berjalan perlu disusuli dengan pemantauan, samada arahan disempurnakan mengikut rancangan. Atau jika ada masalah, segera dapat diselesaikan. Jaulah Negeri ke Daerah-daerah adalah contoh yang baik. Pemantauan yang saya maksudkan di sini bersifat dua-hala. Orang atas pantau orang bawah yang melaksanakan arahan sementara orang bawah juga menegur selalu orang atas. Jika tidak dibudayakan aspek ini, kerja dakwah IKRAM akan ‘mati’ separuh jalan.

Akhir sekali, sempena tahun baru ini, marilah kita sama-sama tanam azam baru untuk melakukan sesuatu yang baru demi untuk kemaslahatan masyarakat di Pulau Pinang serta kebahagiaan hakiki di akhirat nanti.
"Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya."

Surah Ali Imran :159.


Oleh :
Ir Hj Jamaluddin Abdullah, YDP IKRAM Negeri Pulau Pinang

Wednesday, December 15, 2010

KEM CUTI SEKOLAH NEGERI PULAU PINANG12

Di hadapan sebahagian para peserta baru tiba ke Surau Al Islah Jalan Kebun Bunga. MAnakala di belakang Zulkarnain sedang memberi taklimat kepada Komando i-RINTIS.

Disember 2010. RINTIS Outdoor Ventures Enterprises suatu ketika dahulu merupakan sebuah syarikat di bawah kelolaan JIM SPT telah didaftarkan semula menjadi i-RINTIS Global. Ianya mendapat kepercayaan dari sekretariat KEM CUTI SEKOLAH NEGERI PULAU PINANG yang bertema ‘Jom Kenali Sahabat’ anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengendalikan progam ‘outdoor’ mendaki Bukit Bendera pada 12 Disember 2010.

Para peserta tidak sabar-sabar ingin melulakan pendakian ke Bukit Bendera.

Bermula dengan taklimat khas untuk lebih kurang 20 orang fasilatator pada 9.30 malam 11 Disember 2010 itu di Sekolah Al-Mashoor (Lelaki) Pulau Pinang telah memberi suatu cabaran baru bagi i-RINTIS mengendalikan lebih 200 orang peserta yang berumur diantara 10 hingga 12 tahun.

Peserta dilepaskan mengikut kumpulan. Dua kumpulan serentak lelaki dan perempuam. Kesemuanya 20 kumpulan.

Pendakian bermula jam 9.50 pagi dengan 2 kumpulan dilepaskan serentak sementara Kumpulan Scout i-RINTIS bersama petugas ‘Check Point’ dan Unit Komandi i-RINTIS telah masuk lebih awal lagi. Peserta perlu melalui 5 ‘Check Point’ dengan tugasan-tugasan tertentu.

Diantara permandangan yang amat menarik di Check Point 3.

Unit Komando telah ditempatkan di dua lokasi penting untuk menerima arahan dari Ketua Pengawai Operasi. Disepanjang program ada beberapa kes kecemasan yang telah berjaya ditanggani oleh unit ini dengan baiknya.

Dua orang peserta terpaksa didukung oleh komando untuk beberapa jarak yang tertentu kerana keletihan dan sakit kaki. Satu kes peserta sesak nafas.

Unit Penghantaran makanan telah menempah 2 buah pacuan 4 roda untuk menghantar makanan ke Check Point 5. Mungkin ada dikalangan anggota i RINTIS tidak mendapat bekalan makanan tersebut namun yang pasti semua peserta dapat menikmati makan tengahari.
Solat berjemaah ditekankan kepada semua yang terlibat diimamkan oleh Tuan Hj Atan.

Setelah 20 kumpulan peserta berlepas, Unit Sweeper i-RINTIS pula menjalankan tugas, mengutip sampah dan saki-baki petanda jalan. Mereka juga akan memastikan tiada yang ketinggalan.
Sujud meyembah yang Esa, bertapa kerdilnya kita ini. Sahabat alam, tanah merupakan asal kejadian kita.
Semua berjaya sampai ke bawah jam 3.50 petang dan sebelum bersurai sempat bersolat di kawasan lapang yang basah dengan beralaskan kain-kain pelikat dan batik. Alhamdulillah, barakallah dan syabas i RINTIS Global dengan kekuatan 30 anggotanya berserta pembantu dari SMA Masriah dan rakan-rakan Mohd Saiful Nizam B Rusli. Semoga Allah SWT ganjari usaha kalian.

Wednesday, November 17, 2010

PERUTUSAN YDP IKRAM P PINANG SEMPENA EIDUL ADHA 2010

Tiada Pengorbanan Tiada Kemenangan

Assalamu ‘alaikum wbkt
Segala pujian bagi Allah yang telah mengurniakan 10 hari terbaik awal Zulhijjah kepada kita. Selawat dan salam atas Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarganya dan para sahabat sehinggalah pejuang akhir zaman.

Ikhwah dan akhawat, ahli-ahli IKRAM yang dirahmati sekalian.

Hari Raya Haji disambut dengan memperingati pengorbanan 4 insan hebat iaitu Nabi Ibrahim, isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail serta kisah Habil.
a) Siti Hajar berkorban berjauhan dengan suaminya Nabi Ibrahim kerana perjuangan.
b) Nabi Ibrahim yang melakukan perintah Allah tanpa soal iaitu menyembelih anaknya Nabi Ismail
c) Nabi Ismail yang merelakan dirinya disembelih bapanya demi ketaatan kepada perintah Allah
d) Habil anak Nabi Adam, menyediakan binatang ternakan yang terbaik sebagai persembahan kepada Allah.

Mungkin iman kita tidak setinggi mereka para Nabi, yang sentiasa bertambah dari hari ke hari. Iman kita yang tidak menentu jatuh bangunnya, sentiasa bertambah dan berkurang. Tetapi berusaha menjadi mu’min yang lebih baik dari semalam adalah merupakan akhlak yang mulia.. dan semestinya, ia memerlukan pengorbanan.

Pengorbanan membawa arti kesediaan memberi sesuatu yang disayangi untuk tujuan yang lebih tinggi atau lebih baik. Pengorbanan, Ketaatan dan Kesabaran adalah di antara tiga muasofat pendukung dakwah yang penting dalam perjuangan kita. Tanpa ketiga-tiga ciri ini perjuangan tidak akan mencapai kemenangan.

Kadangkala kita sering tertanya-tanya,”Dah lama dah aku berjuang, kenapa tak nampak hasil apa-apa pun?” Ini satu persoalan yang baik. Apakah Allah sengaja melambatkan kemenangan kerana belum cukup pengorbanan dari kita? Cukupkah sudah keletihan kita dalam pengorbanan ini? Mungkin kita beri sumbangan bukan yang kita sayangi malahan kita berkira-kira pulak untuk memberi yang terbaik kepada jamaah.

Apakah cukup tinggi ketaatan kita kepada qiadah? Adakah ikut perintah samata-mata apa yang boleh buat bukan apa yang disuruh buat? Siti Hajar menurut perintah suaminya Nabi Ibrahim tanpa merungut. Padahal berapa kali hati kecil kita menyoal, ”Kenapa mesti semuanya aku yang kena buat? Tak ada orang lain kah?”

Apabila kita mengutamakan Allah dalam hidup kita, kita bersedia meletakkan kepentingan lain di keutamaan kedua, ketiga dan seterusnya. Bila kita memberi masa , tenaga, harta dan buah fikiran untuk melaksanakan ketetapan jamaah sehingga kita letih, sehingga kesusahan mengulit diri maka saya yakin bibit kemenangan akan dirasai.

Bila kemenangan demi kemenangan kecil menyusul, tunggulah kemenangan besar. Pada ketika itu, benarlah janji Allah,
“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”
(Muhammad: 7)

Ismail a.s. adalah ‘dunia kesayangan’ Ibrahim a.s., apakah ‘Ismail’ kita dan bersediakah kita mengorbankannya di jalan Allah?

Mudah-mudahan Hari Raya Qurban tahun ini, memberi motivasi kepada kita supaya dapat mempertingkatkan lagi keimanan, ketaatan, pengorbanan dan kesabaran.

Thursday, November 11, 2010

PERUTUSAN YDP IKRAM PP: Menyantuni Mangsa Banjir

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Salawat dan salam kepada Pesuruh Allah, Muhammad s.a.w. serta kaum keluarga baginda dan sahabat-sahabat serta mereka yang menuruti mereka hingga ke hari kiamat.

Saudara saudari yang dirahmati Allah sekalian.
Baru-baru ini, negeri-negeri di utara semenanjung Malaysia dilanda musibah banjir. Hujan lebat yang diukur dengan kepekatan curahan melebihi 100 tahun adalah tempias dari taufan Megi. Ia menimpa negera-negara Asia Tenggara sejak akhir bulan Oktober lagi dan kesan banjirnya dirasai di negeri Kedah dan Perlis. Seramai lebih 20,000 penduduk negeri tersebut terpaksa berpindah ke Pusat Penempatan sementara ribuan rumah-rumah yang tenggelam akibat limpahan hujan.

Di antara rumah-rumah yang terlibat termasuklah rumah ahli-ahli IKRAM sendiri malahan juga rumah ayahanda dan bonda mereka di kampung-kampung. Bebanan yang mereka tanggungi amatlah berat. Kata pepatah orang Melayu, “Berat Mata Memandang, Berat Lagi Bahu Memikul”. Saya sendiri berpeluang bersama DERU IKRAM Pulau Pinang membantu bersihkan beberapa buah rumah di Taman Jitra. Keadaan di sana umpama zon perang! Masya Allah! Saya dapat merasai penderitaan dan kerugian yang ditanggung oleh mereka. Bayangkan jika semua peralatan dan barangan asas seisi rumah rosak dan tidak boleh diguna langsung.


Hamizat Ahmad empat dari kiri Ketua Misi sedang memberi taklimat kepada sebahagian dari sukarelawan DERU IKRAM PP.

Moto IKRAM, “Ukhuwwah Teras Kegemilangan” menguji pegangan kita. Salah satu ciri ukhuwwah atau persaudaraan ialah bertolong-tolongan dalam kebajikan. Kita yakin dengan firman Allah s.w.t: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya”. – al Maaidah: 2


Salah satu tanda-tanda orang bersyukur ialah menggunakan nikmat pemberian Allah kepada jalan yang benar. Bukankah nikmat sihat tubuh badan adalah pemberian Allah? Bukankah Iman, Islam dan Ukhuwwah itu satu nikmat terbesar Allah kepada kita?

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". – Ibrahim : 7

Maka saya menyeru kepada semua ahli IKRAM, sebagaimana petikan dari ayat 267, Surah al-Baqarah :“Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu nafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mau mengambilnya melainkan dengan memicingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahwa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”
Hulurkanlah , samada anda senang atau susah, apa bentuk bantuan pun samada besar atau kecil, lapangkanlah masa untuk turun membantu sahabat-sahabat IKRAM, ahli keluarga mereka atau masyarakat setempat. Kerja membantu amat terbuka luas, samada sumbangan wang ringgit, pakaian malahan tulang empat kerat saudara/i pun amat-amat diperlukan. Sesungguhnya, di sana ada tarbiyah, di sana ada pengalaman bekerja amal jama’i dan di sana juga ada ukhuwwah.



Ayuh! Inilah masanya kita mempraktikkan teori-teori yang dibincang di dalam halaqah dan usrah. Mudah-mudahan Allah ganjari kita pahala istimewa lebih-lebih lagi pada 10 hari awal Zulhijjah ini.

“Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).” – Hadith Imam Bukhari
Oleh : Ir Hj Jamaluddin Abdullah

Tuesday, November 9, 2010

Perancangan Strategik IKRAM PP 2

PS 2 ini telah menghimpunkan AJK Negeri dan AJIk Utama Daerah. Ini merupakan jalan kerja berjamaah dan bersyura.

Perancangan Strategik JIM Penang ke-2 telah diadakan pada hari Sabtu 6 Nov 2010 bermula jam 9. Tempat yang dipilih ialah di Pejabat IKRAM Pulau Pinang, Samagagah. Dengan dipengerusikan oleh Hj Atan majlis berjalan lancar seperti yng diaturkan.

Peserta telah dipecahkan kepada 4 kumpulan besar. Setiap kumpulan akan diberi tugasan untuk melengkapkan perancangan KRA yang telah diagih-agihkan. Dr Halim, Isahak. Ustaz Roze dan Ir Jamaluddin telah dilantik menjadi ketua kumpulan.
Kali ini agak istimewa kerana PS di buat di pejabat sendiri tidak di permis seperti hotel dan sebagainya.

Kepada yang berminat untuk mendapatkan hasil pernincangan bolehlah merujuk kepada Setiausaha IKRAM Negeri Pulau Pinang. Semoga AJK Negeri dan Daerah dapat menjadikan Perancangan Strategik Negeri ini sebagai rujukan dan panduan.

Saturday, November 6, 2010

Exzos Pajero, No Plat Hilux Patah dan MPV Zul …


Kami hanya mampu keluar dari lebuhraya Alor Setar Selatan perjalanan lancar pada mulanya.

Jumaat 5 November 2010 bermula jam 9.00 pagi telah berhimpun beberapa sukarelawan IKRAM Pulau Pinang di Masjid Seberang Jaya untuk berbincang, mengumpul barangan untuk mangsa banjir di Perlis dan Kedah. Misi kali ini ialah menghantar barangan bantuan, diketuai oleh Hamizat Ahmad Ketua Jawatankuasa Kebajikan IKRAM PP.

Semasa kami di masjid tersebut, ramai yang menghulur wang ringgit dan barangan makanan, minuman dan pakaian. Pakaian ada yang terpakai dan tidak kurang yang baru. Kain telekong dan al Quran juga disumbangkan oleh orang ramai. Kutipan ini dilanjutkan sehingga jam 12.30 tengahari. Setelah mengemas dan membersihkan ruangan masjid kami pun bersiap pulang sebentar untuk persiapan solat Jumaat.
Berhenti berihat di setesen minyak setelah melalui sawah dan jalan kampong yang berliku-liku selama lebih kurang 3 jam.

Sukarelawan IKRAM ini berkumpul kembali untuk membungkus, mengasingkan dan menulis tanda barangan yang telah diasing-asingkan rapi. Setelah solat Asar Ketua Misi Hamizat Ahmad memberi taklimat. Misi kali ini ialah menyampaikan barangan bantuan ke Sekolah Al Azhar yang berdekatan dengan Jitra, Kedah. Semua barangan bantuan ini akan diurus dan diselenggarakan oleh IKRAM Negeri Kedah. Dengan 2 kereta pancuan 4 roda dan 1 MPV bersama 8 sukarelawan telah tiba ke destinasi jam 10.30 malam, dengan melalui jalan-jalan alternative merentas sawah padi. Alhamdulillah misi ini berjaya dan disambut baik oleh dua orang sahabat IKRAM Kedah yang juga kelihatan keletihan seperti kami juga.

Sebahagian dari sukarelawan yang bersama misi penghataran bekalan bantuan di Sekolah Al Azhar.

Semasa pulang pasukan kami telah mencuba mengikut pekan Ayer Itam. Pada jangkaan kami air banjir sudah sudut. Tetapi tidak, air masih di tahap bahaya. Cuma kenderaan berat yang mampu melaluinya. Oleh kerana kami telah di pertengahan jalan kami cuba meredahnya terus. Air naik di setiap simpang jalan dan tiada boleh berpatah balik. Risaukan kereka MPV Zulkarnain Ahmad yang bukan pacuan 4 roda. Harryzan hanya mampu berdoa dan berzikir di dalam kereta Zulkarnain. Semakin tinggi air semakin kuat beliau berzikir. Beberapa simpang selamat kami redah. Baju Zulkarnain basah terkena rembatan air yang berselisih dengan lori.


Garu kepala juga, perut lapar, barang banyak yang belum diangkat dan esok mesti balik ke Penang. Jika tidur di sini bolehlah rihatkan badan.

Keadaan memang amat gawat kerana air semakin tinggi dan banyak simpang-simpang yang telah dinaiki air. Sesampai tempat yang selamat kami baru tahu exzos pajero patah di tengah terlanggar kayu yang hanyut dan no plat Hilux juga patah kerana meredah air deras di hadapan sekali. Alhamdulillah kereta Zulkarnain tiada mengalami kerosakan fizikal.

Walaupun pihak IKRAM Kedah menyuruh kami bermalam di sana pada mulanya tetapi oleh kerana keesokan harinya ada program Perancangan Strategik IKRAM Pulau Pinang maka kami terpaksa balik bergegas balik pada malam itu juga. Sampai di rumah jam menunjukan dua pagi. Letih sungguh tetapi berbalaoi.

Keadaan air banjir yang masih belum surut.

Allah sahaja yang tahu bertapa cemasnya kami mengharungi arus air banjir ciptaanNya. Semoga dengan sedikit bekalan bantuan ini dapat dimanfaatkan oleh mangsa banjir kelak.

Sunday, October 10, 2010

Hampir 2,000 ahli IKRAM sertai Muktamar Tarbawi Nasional 2010


SERDANG - Kira-kira 1,900 orang ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) berhimpun di Dewan B, Tapak Pameran Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) kerana menghadiri Muktamar Tarbawi Nasional (MTN) 2010 IKRAM di sini.



Para peserta yang mula tiba dari seluruh pelosok tanah air sejak awal pagi mengambil peluang memulakan hari yang indah ini dengan bertemu sahabat handai untuk mengukuhkan silaturahim, sebelum kesemuanya bergerak masuk ke dewan.

Majlis dibuka dengan bacaan ayat-ayat al-Quran dari surah Hud ayat 41-47 oleh Ustaz Mohd Norhisham Ahmad. Para hadirin kemudiannya berdiri untuk menyanyikan lagu rasmi IKRAM dengan penuh semangat.
Pengerusi Jawatankuasa Tarbiah Pusat, Ustaz Tajul Arifin, dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran peserta ke muktamar ini. Menurut beliau, tema "Nuqaba' Berwibawa Teras Kecemerlangan IKRAM" dipilih untuk MTN kali ini kerana tanggungjawab dakwah yang berat ini perlu dipikul oleh ahli-ahli IKRAM yang berwibawa. IKRAM percaya bahawa mereka yang berkualiti sahaja yang akan mampu memilih anasir-anasir yang berkualiti.
Tambah beliau lagi, objektif terpenting MTN ialah memberi semangat kepada para naqib supaya mereka dapat memikul beban amanah dakwah dan tarbiah dengan lebih komited, seterusnya melahirkan naqib- naqib lain untuk memajukan dakwah di tengah masyarakat. "Orang yang mampu mentarbiah dirinya sahaja yang akan mampu mentarbiah orang lain," katanya.

"Kita yakin bahawa kemelut yang melanda masyarakat tidak akan dapat dirungkai dan diselesaikan melainkan dengan Islam sahaja," tegas Ustaz Tajul Arifin lagi.

MUKTAMAR TARBAWI NASIONAL 2010

Friday, October 8, 2010

“Ukur Baju Badan sendiri”.

Semangat sekali memerhati lirik dalam Lagu IKRAM. Aku menitiskan air mata pertama kali mendengar lagu ini di hari Pelancaran IKRAM.

Aku hairan, simpati dan kasihan pula rasanya melihat seorang sahabat itu pulun dengan beberapa usrah. Hampir setiap malam dia tiada di rumah awal. Sedangkan masih ada yang tidak lansung membawa usarah macam aku ini. Namun ada yang mempunyai satu usrah sahaja tetapi lagaknya macam orang yang terlalu sibuk sehingga tiada boleh ditambah-tambahkan lagi dengan kerja-kerja amal yang lain.

Aku pun hairan juga melihat diriku ini sudahlah menjadi YDP JIM SPT, Setiausaha IKRAM SPT, guru silat yang mempunyai kelas-kelas tersendiri. Ini tidak temasuk jawatan dalam organisasi silatku. Tetapi aku masih sanggup menjadi JK Media dan Penerangan IKRAM Negeri pula. Itu pun nasib, dilantik semasa mesyuarat agong kerana masih ada di antara mereka yang mahu tenaga aku yang sedang berkurangan sangat ini.
Bersama penulis lirik Lagu IKRAM. Minta tanda tangan ori dari beliau. Prof Dr Mohammed Hatta Shaharom Timbalan Presiden IKRAM.

Aku semakin sangat hairan melihat sahabat yang seangkatan dengan aku, ada segelintir yang begitu peka dengan istilah “ukur baju badan sendiri”. Kerja-kerja mereka terlalu banyak sehingga hendak menjadi ‘posto’ penghantar surat pun tidak boleh. Entahlah! Apakah gejala yang menimpa kita ini ? Pernah kita katakan IKRAM tidak sama dengan JIM. Mungkin benar kenyataan itu, tetapi tidak sama adakah JIM lebih cemerlang dari IKRAM?

Mari agihkan kerja dan pahala.

Ukhuwah Teras Kegemilangan.

Tuesday, October 5, 2010

Jamaah Perlukan Kita.

Siapakah yang menggunakan senjata kimia? Negara mana yang terinaya dengan kehancuran akibat sentaja kimia ini?


Amerika masih menjadi kuasa penentu kepada sebarang isu global. Daripada isu ekonomi hinggalah kepada isu-isu keselamatan negara atau ketenteraan. Malah diberi golokan sebagai ’polis dunia’. Semuanya mahu dibuat mengikut acuan mereka sahaja. Sehingga tidak memperdulikan apa sahaja dan sanggup mencemari kedaulatan negara-negara lain. Mendabik dada kononnya mereka sebagai negara yang membela hak asasi manusia tetapi malangnya merekalah yang mencetus huru-hara dan menghancurkan negara-negara lain seperti Afghanistan, Iraq, Palestin dan seterusnya tanpa menghormati hak dan kedaulatan negara-negara tersebut. Inilah satu sistem yang telah dipaksa untuk diikuti yang sebenarnya merupakan satu penodaan yang tidak berperikemanusiaan.

Bagaimanakah kita mahu menangani isu besar ini? Membiarkan begitu sahaja? Kita wajib menentang sistem ini. Sememangnya kita tidak mampu menentangnya secara individu. Tetapi insyaAllah kita boleh mengubah sistem ini secara beramai-ramai. Kalau tidak kita siapa lagi. Mari kita mula dengan menyedarkan diri sendiri dan kemudian kepada rakan taulan kita dalam kelompok yang lebih besar hinggalah kepada rakyat keseluruhannya. Itulah dakwah kita dengan berkerja-sama dari sudut menerajui pandangan masyarakat umum. Setelah semuanya memahami perkara ini maka bertitik-tolak di sini kita usahakan perubahan. Perubahan yang bermula daripada diri kita sendiri.

Dengan berforum sahaja tidak mencukupi. Orang ramai perlu ada tindakkan yang drastik. Mari boikot barangan Amerika Syarikat dan Israel.

Sebelum sebarang agenda besar kita terokai kita harus perbetulankan dalaman kita dahulu. Sebagai seorang yang mendokong dakwah dan kebajikan secara sukarela dan tidak dibayar, sudah barang pasti kita memerlukan satu tolakan besar untuk melaksana tugasan ini. Kita perlu beramai-ramai berpadu dalam satu pertubuhan agar memudahkan perjalanan aktiviti perubahan ini.

Apabila aqidah kita telah beres maka faktor ketaatan amat sangat diperlukan, ini adalah diantara ciri-ciri di dalam berjamaah. Kita khuatir jika mempunyai ahli-ahli yang cerdik pandai tetapi tidak taat kepada pimpinan. Malah cerdik pandainya tidak dapat dimanfaatkan oleh organisasi. Kerja-kerja sendirian yang tidak dipantau dan direstui akan menghasilkan natijah yang buruk dan mungkin akan merencatkan kerja-buat dakwah keseluruhannya. Pandangan sendirian sudah tentu besar bezanya dengan pandangan jamaei.

Selalunya orang yang sama kita lihat yang mahu kehadapan. Ke mana yang lain-lain? Rungkaikan zon selesa kita. Mari bersama jamaah.

Taat, percaya kepada pimpinan dan syura akan memudahkan lagi perjalanan proses dakwah dan kebajikan kita yang bersifat jamaei ini. Yakinlah syura jamaah kalau tepat kita akan mendapat dua kebajikan kalau tidak tepat akan mendapat satu kebajikan. Nabi Muhammad saw pernah bersabda agar kita taat kepada pemimpin selagi mana ianya tidak bermaksiat atau derhaka kepada Allah SWT. Sesungguhnya memang tidak dinafikan perjuangan ini ada kadang-kala terpaksa berseorangan dan kadang-kala beramai-ramai. Namun kita tidak mungkin akan berjaya besar jika hanya berseorangan. Masalah dan kerenah masyarakat yang berbagai, rumit dan kompleks ini memerlukan kerja-kerja berpadu, tersusun dan berencana. Bersama dengan rakan taulan untuk sesuatu kerja-buat akan lebih berkat jika bebanding dengan berseorangan.

Mungkin kerja-kerja keseorangan lebih mudah. Tidak perlu tunggu sesiapa. Tetapi setiap tenaga kita ini amat diperlukan oleh jamaah. Bantulah jamaah, jika ada sebarang kelemahan jangan ditinggalkan begitu sahaja. Bantu dan terus bantu hingga lambat launnya sama-sama beroleh kejayaan besar. Maka pertahankanlah. Jangan hanya dengan masalah yang remeh-temeh kesatuan kita terburai. Saya amat berharap, janganlah kita hanya memfokus kepada masalah itu tetapi fokuslah kepada amanah yang kita pikul. Nescaya ada penyelesaiannya, yakinlah bila kita tolong agama Allah, Allah akan menolong kita.

Semua golongan wajib bersatu dan membuat penentangan-penentangan yang wajar mengikut kemampuan dan lunas ungdang-ungdang. Jangan hanya menjadi penonton sahaja.

Satu unsur yang sangat penting dalam satu jamaah, organisasi atau pertubuhan ialah taat setia ahli kepada ketuanya.. Perkemaskan ikatan silaturahim d iantara kita, yang muda menghormati yang tua dan yang tua menyayangi yang muda. Kalau ada sakit pening ahli kita ambil berat. Kalau ada yang perlu bantuan kita ambil peduli. Kenduri-kendara kita ambil tahu dan raikan semampu boleh. Ziarah, bermusafir bersama, solat berjemaah mesti dipraktikan selalu dan diperluaskan. Agar dengan ini kita akan menjadi 'kebal' dan tidak mudah terguris hati dengan suasana dan masalah harian kita. Jangan dengan sebab satu masalah yang kecil kita lupa ikatan ukhuwah kita yang bertahun-tahun.

Kekuatan yang hakiki datangnya dari pertolongan Allah SWT. Penyerahan yang total dengan setulus hati tanpa sekelumit pun sebab lain. Dengan ini akan lahir satu kekuatan kesatuan ummah. Kekuatan juga terjalin dengan perancangan yang baik, dana yang kukuh dan organisasi yang mantap. Tetapi ini memerlukan hasil usaha aset yang utama iaitu ahli-ahli. Kejayakan bergantung kepada sumber tenaga terlatih yang cukup bilangannya. Tiada jalan pintas, bagi yang telah bersedia, kemunculan mereka akan kita beri tumpuan. Bergeraklah mengikut kemampuan masing-masing. Jika kita tidak bergerak dan bekerja untuk perubahan, kita mungkin sedang mambantu penerusan sistem jahat yang sedang berusaha menghancurkan ummat Islam hari ini.

Thursday, September 16, 2010

Jika Al Quran Dibakar?

Peristiwa 11 September 2001 atau pengeboman menggunakan dua kapalterbang terhadap bangunan World Trade Center di New York telah disambut ulangtahun kejadiannya semalam di Amerika Syarikat. Acara mengingati peristiwa hitam ini dipenuhi dengan kontroversi isu pembinaan masjid berdekatan dengan ground zero atau tapak World Trade Center dan juga paderi Jones yang ingin mengadakan majlis membakar Al-Quran. Hendak dijadikan cerita, sambutan Eidul Fitri pula jatuh sehari sebelum acara peringatan ini. Jadi bercampur-baur isu-nya. Hampir 3000 mangsa telah terkorban di dalam kejadian ini, termasuk 60 mangsa yang beragama Islam.

Isu 9-11 ini telah menjadi hujah yang amat kuat untuk pihak kerajaan Amerika menggerakkan mesej war on terror mereka. Dengan isu 9-11 ini mereka telah mempunyai seolahnya open-cheque untuk menyerang atau berperang dengan mana-mana negara yang mereka rasakan menepati sifat negara terorist bagi mereka. Makanya, Syria, Iran, Korea Selatan, Cuba adalah antara negara yang menjadi ahlinya axis of evil ini. Perkara ini membolehkan Amerika Syarikat membuat unilateral decision untuk membuat tindakan militer, walaupun ia tidak dipersetujui oleh semua negara di dunia. Kekuatan ketenteraan dan kekayaan negara menyebabkan mereka merasa tidak perlu kepada negara lain untuk mengambil tindakan seumpama ini. Keadaan dunia yang terlalu unipolar sifatnya menyebabkan keadaaan sedemikian berlaku.

Pada tanggal 11 September 2010, maka telah berlangsunglah upacara peringatan kepada mangsa-mangsa peristiwa 9-11 ini. Sebagai manusia dan umat Islam, kita pun sama merasai kesedihan dan perasaan ahli keluarga mangsa. Kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku, walau bagaimanapun kita hendak menghalalkannya. Ya, sedih kita sama-sama boleh kongsi. Tetapi bagaimana dengan ribuan lagi mangsa serangan Amerika dan sekutunya terhadap negara-negara umat Islam. Bagaimana pula dengan kehancuran yang bukan sekadar kehilangan beberapa orang ahli keluarga, malah satu negara hancur. Contoh terbaik adalah keadaan negara Iraq ketika ini.

Ya, di penghujung tahun 2010 ini, tentera Amerika akan mengundurkan diri selama rasmi daripada Iraq dan Iraq diserahkan kembali kepada rakyatnya. Tetapi apa yang ditinggalkan oleh Amerika, jika tidak akan kesan-kesan dan saki-baki kemusnahan. Perkara ini teramatlah perlu diingati dan sepatutnya menjadi pengajaran atau peringatan untuk dunia.

Peristiwa 9-11 juga memperingatkan umat Islam supaya lebih banyak berdialog dengan masyarakat bukan dan belum Islam. Interaksi yang positif akan dapat membuang banyak prasangka yang kurang tepat dan membetulkan persepsi yang ada. Persepsi yang selalunya menyangka Islam adalah agama keganasan dan kezaliman. Sehinggakan Al-Quran pun hendak dibakar. Mungkina ada dikalangan berkata, biarlah jika mereka mahu membakar Al-Quran kerana Al-Quran ini ada penjaganya. Kalau kita hendak menghalang boleh, tapi akhirnya jika mereka mahu membakarnya, terbakar juga Al-Quran itu. Ya, kita sedih kerana Al-Quran yang kita cintai tidak dihormati, malah mahu dibakar. Tetapi sedarkah kita, Al-Quran bukan meminta untuk dihormati, ia menuntut untuk diamalkan. Al-Quran menuntut untuk dijadikan sumber rujukan dan sumber kehidupan. Jika Al-Quran dihormati dan sekadar menjadi hiasan semata, maka samalah seperti kita membakar. Ini kerana di akhirat nanti, takut-takut kerana abaikan Al-Quran, kita yang akan dibakar Allah SWT, di dalam nerakanya. Pelik manusia ini, yang akan menyelamatkan mereka dibakar, tetapi yang akan menghancurkan pula yang disanjung.

Umat Islam menjadi hina kerana kita mengabaikan Al-Quran dan tuntutannya. Kita dihina manusia kerana sibuk mencari kemuliaan dunia. Kita tinggalkan agama sebagai mahar, galang-ganti untuk mendapatkan dunia. Akhirnya, kehinaan juga mendamping kita semua. Jika mahu keluar daripada kemelut ini, maka marilah kita hayati, faham dan amalkan Al-Quran. Ketika itu, jika dibakar pun Al-Quran, maka Al-Quran pada hakikatnya sedang berjalan bertebaran di muka dunia. Amin. InsyAllah.

12 September 2010, Ahad, paderi Jones tidak jadi bakar Al-Quran

Nukilan :
Abu Tasneem IKRAM SPS
Montpellier, France.

Friday, September 10, 2010

Ucapan YDP IKRAM Pulau Pinang Sempena Hari Raya.

Dari kiri; Ust Rozee TYDP IRAM SPT, Hj Taufek YDP JIM PP, Rosli Rashid, Rusli Hashim & Ir Hj Jamaluddin YDP IKRAM PP.
Di kesempatan ini, pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada saudara semua kerana kita telah berjaya melalui satu sesi latihan dalam madrasah ramadan tahun ini.

Kita telah menekan nafsu untuk meninggalkan kepentingan duniawi dan memberi laluan kepada amalan untuk bekalan ukhrawi. Jika diimbau kembali, banyak juga amalan dapat kita lakukan dengan mudah walaupun sebulan sebelumnya ia tidak semudah itu.

Perginya Ramadan tidak bermakna tamatnya aktiviti berpuasa kerana kita sentiasa dianjurkan untuk berpuasa 6 Syawal, setiap Isnin dan Khamis, hari Arafah dan sebagainya.

Saya juga menyeru diri saya dan ahli-ahli IKRAM teruskan solat berjamaah, dekatkan diri dengan al Quran dan terus bersedeqah.

Tahun yang mendatang ini akan menuntut jiwa-jiwa yang ikhlas dan lebih pengorbanan untuk menjayakan visi dan misi IKRAM baik susah atau senang, memetakan IKRAM di persada masyarakat di samping membina saf-saf dalam sistem tarbiah manhaj Rasulullah saw.

Akhir sekali sebagai YDP, saya memohon ampun maaf atas salah silap serta kekurangan diri. Selamat Menyambut Hari Raya Eidul Fitri.