PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM) Negeri Pulau Pinang

PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM) Negeri Pulau Pinang
Brotherhood the Foundation of Glory

Monday, January 31, 2011

PERUTUSAN YDP IKRAM P PINANG SEMPENA TAHUN BARU CINA 2011

Melebarkan Dakwah Kepada Belum Islam

Assalamu ‘alaikum wbkt
Segala pujian bagi Allah Pencipta Masa. Selawat dan salam atas Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarganya dan para sahabat sehinggalah pejuang akhir zaman.

Ikhwah dan akhawat, ahli-ahli IKRAM yang dirahmati sekalian.
Tidak lama lagi seluruh rakyat Tionghua Malaysia akan menyambut Tahun Baru Cina. Mengikut kalendar kaum Cina, tahun ini ialah Tahun Arnab. Saya teringat kata-kata mantan YDP JIM Pulau Pinang Dr Danial,"..ahli JIM mesti bermuka arnab..". Maksudnya kita kena senyum selalu dan muka manis kepada mad’u. Bagi saya kata-kata itu masih dipakai lagi terutamanya kepada pendakwah.

Sempena menyambut cuti perayaan Tahun Baru Cina ini, eloklah kita melebar dakwah kita kepada masyarakat Tionghua. Ucaplah selamat tahun baru kepada rakan-rakan sekerja kaum Cina. Insya Allah, ia tidak melanggari syariat kerana sambutan ini tidak bersifat kepercayaan atau aqidah kaum Cina. Ia hanya adat budaya sahaja. Mudah-mudahan ini membuka pintu komunikasi yang selesa dengan mereka.

Saudara-saudari sekalian,
Kita ingin menghilangkan kegerunan kaum Cina (dan kaum lain juga) terhadap Islam. Kita juga mahu merealisasikan bahawa Islam adalah rahmat sekalian alam. Pertama, kita perlu ingat, apa urusan kita dengan mereka sekalipun ada tujuan dakwah.

Kaum Cina adalah kaum yang berpotensi besar untuk bakal menjadi kuasa ekonomi dunia. Kini kuasa Amerika sudah mengakuinya. Pengeluaran Kasar Negara China (Gross Domestic Product) telah menyaingi Jepun dan menjadi kuasa ekonomi yang kedua terbesar dunia. Bukan maksud saya dakwah untuk kepentingan kebendaan. Namun, jika dibandingkan mereka dengan kaum lain, mereka lebih terbuka tentang Islam. Mana tahu kuasa ekonomi merekalah yang membantu kemenangan dunia Islam nanti!

Insya Allah, pada tahun ini, JK Dakwah Belum Islam melalui Hidayah Centre akan menganjurkan majlis menyambut Tahun Baru Cina dengan meraikan rakan-rakan Tionghua setempat dengan makan-minum dan tarian Naga. Sama-samalah kita sertai dengan menjemput rakan-rakan sekerja. Biarlah mereka lihat keterbukaan kita dan tunjukkan akhlaq Islam sentiasa.

Mudah-mudahan akan tercapai 80% penduduk Pulau Pinang beragama Islam pada tahun 2020. Amiin.

"Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil."
Al Mumtahanah : 8

Wassalamu ‘alaikum.

No comments: