PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM) Negeri Pulau Pinang

PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM) Negeri Pulau Pinang
Brotherhood the Foundation of Glory

Thursday, September 16, 2010

Jika Al Quran Dibakar?

Peristiwa 11 September 2001 atau pengeboman menggunakan dua kapalterbang terhadap bangunan World Trade Center di New York telah disambut ulangtahun kejadiannya semalam di Amerika Syarikat. Acara mengingati peristiwa hitam ini dipenuhi dengan kontroversi isu pembinaan masjid berdekatan dengan ground zero atau tapak World Trade Center dan juga paderi Jones yang ingin mengadakan majlis membakar Al-Quran. Hendak dijadikan cerita, sambutan Eidul Fitri pula jatuh sehari sebelum acara peringatan ini. Jadi bercampur-baur isu-nya. Hampir 3000 mangsa telah terkorban di dalam kejadian ini, termasuk 60 mangsa yang beragama Islam.

Isu 9-11 ini telah menjadi hujah yang amat kuat untuk pihak kerajaan Amerika menggerakkan mesej war on terror mereka. Dengan isu 9-11 ini mereka telah mempunyai seolahnya open-cheque untuk menyerang atau berperang dengan mana-mana negara yang mereka rasakan menepati sifat negara terorist bagi mereka. Makanya, Syria, Iran, Korea Selatan, Cuba adalah antara negara yang menjadi ahlinya axis of evil ini. Perkara ini membolehkan Amerika Syarikat membuat unilateral decision untuk membuat tindakan militer, walaupun ia tidak dipersetujui oleh semua negara di dunia. Kekuatan ketenteraan dan kekayaan negara menyebabkan mereka merasa tidak perlu kepada negara lain untuk mengambil tindakan seumpama ini. Keadaan dunia yang terlalu unipolar sifatnya menyebabkan keadaaan sedemikian berlaku.

Pada tanggal 11 September 2010, maka telah berlangsunglah upacara peringatan kepada mangsa-mangsa peristiwa 9-11 ini. Sebagai manusia dan umat Islam, kita pun sama merasai kesedihan dan perasaan ahli keluarga mangsa. Kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku, walau bagaimanapun kita hendak menghalalkannya. Ya, sedih kita sama-sama boleh kongsi. Tetapi bagaimana dengan ribuan lagi mangsa serangan Amerika dan sekutunya terhadap negara-negara umat Islam. Bagaimana pula dengan kehancuran yang bukan sekadar kehilangan beberapa orang ahli keluarga, malah satu negara hancur. Contoh terbaik adalah keadaan negara Iraq ketika ini.

Ya, di penghujung tahun 2010 ini, tentera Amerika akan mengundurkan diri selama rasmi daripada Iraq dan Iraq diserahkan kembali kepada rakyatnya. Tetapi apa yang ditinggalkan oleh Amerika, jika tidak akan kesan-kesan dan saki-baki kemusnahan. Perkara ini teramatlah perlu diingati dan sepatutnya menjadi pengajaran atau peringatan untuk dunia.

Peristiwa 9-11 juga memperingatkan umat Islam supaya lebih banyak berdialog dengan masyarakat bukan dan belum Islam. Interaksi yang positif akan dapat membuang banyak prasangka yang kurang tepat dan membetulkan persepsi yang ada. Persepsi yang selalunya menyangka Islam adalah agama keganasan dan kezaliman. Sehinggakan Al-Quran pun hendak dibakar. Mungkina ada dikalangan berkata, biarlah jika mereka mahu membakar Al-Quran kerana Al-Quran ini ada penjaganya. Kalau kita hendak menghalang boleh, tapi akhirnya jika mereka mahu membakarnya, terbakar juga Al-Quran itu. Ya, kita sedih kerana Al-Quran yang kita cintai tidak dihormati, malah mahu dibakar. Tetapi sedarkah kita, Al-Quran bukan meminta untuk dihormati, ia menuntut untuk diamalkan. Al-Quran menuntut untuk dijadikan sumber rujukan dan sumber kehidupan. Jika Al-Quran dihormati dan sekadar menjadi hiasan semata, maka samalah seperti kita membakar. Ini kerana di akhirat nanti, takut-takut kerana abaikan Al-Quran, kita yang akan dibakar Allah SWT, di dalam nerakanya. Pelik manusia ini, yang akan menyelamatkan mereka dibakar, tetapi yang akan menghancurkan pula yang disanjung.

Umat Islam menjadi hina kerana kita mengabaikan Al-Quran dan tuntutannya. Kita dihina manusia kerana sibuk mencari kemuliaan dunia. Kita tinggalkan agama sebagai mahar, galang-ganti untuk mendapatkan dunia. Akhirnya, kehinaan juga mendamping kita semua. Jika mahu keluar daripada kemelut ini, maka marilah kita hayati, faham dan amalkan Al-Quran. Ketika itu, jika dibakar pun Al-Quran, maka Al-Quran pada hakikatnya sedang berjalan bertebaran di muka dunia. Amin. InsyAllah.

12 September 2010, Ahad, paderi Jones tidak jadi bakar Al-Quran

Nukilan :
Abu Tasneem IKRAM SPS
Montpellier, France.

Friday, September 10, 2010

Ucapan YDP IKRAM Pulau Pinang Sempena Hari Raya.

Dari kiri; Ust Rozee TYDP IRAM SPT, Hj Taufek YDP JIM PP, Rosli Rashid, Rusli Hashim & Ir Hj Jamaluddin YDP IKRAM PP.
Di kesempatan ini, pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada saudara semua kerana kita telah berjaya melalui satu sesi latihan dalam madrasah ramadan tahun ini.

Kita telah menekan nafsu untuk meninggalkan kepentingan duniawi dan memberi laluan kepada amalan untuk bekalan ukhrawi. Jika diimbau kembali, banyak juga amalan dapat kita lakukan dengan mudah walaupun sebulan sebelumnya ia tidak semudah itu.

Perginya Ramadan tidak bermakna tamatnya aktiviti berpuasa kerana kita sentiasa dianjurkan untuk berpuasa 6 Syawal, setiap Isnin dan Khamis, hari Arafah dan sebagainya.

Saya juga menyeru diri saya dan ahli-ahli IKRAM teruskan solat berjamaah, dekatkan diri dengan al Quran dan terus bersedeqah.

Tahun yang mendatang ini akan menuntut jiwa-jiwa yang ikhlas dan lebih pengorbanan untuk menjayakan visi dan misi IKRAM baik susah atau senang, memetakan IKRAM di persada masyarakat di samping membina saf-saf dalam sistem tarbiah manhaj Rasulullah saw.

Akhir sekali sebagai YDP, saya memohon ampun maaf atas salah silap serta kekurangan diri. Selamat Menyambut Hari Raya Eidul Fitri.

Sunday, September 5, 2010

10 Malam Terakhir Ramadan.

Ust Sazali Al Yamani sedang menyampaikan ceramahnya mengenai kehebatan Al Quran di majlis Iktikaf Perdana IKRAM Pulau Pinang di Masjid Daerah Balik Pulau pada 5 Sep 2010.

Alhamdulillah, syukur masih dapat bersama lagi. Musim ini merupakan pusingan akhir Ramadan, kita mengharapkan Allah SWT mengurniakan kebebasan dari Api NerakaNya.
Maka sudah tentu untuk mendapat kurnia ini kenalah kita terlebih dahulu berusaha melakukan yang terbaik di dalam amal ibadat kita. Tidak boleh hanya kerjakan yang fardhu, mestilah ditambahkan dengan perkara-pakara sunat yang lain.
Dari kiri; Ust Ahmad Fahmi, Zulfahmi, Yusmadi dan Isahak merupakan pimpinan IKRAM turut serta di program IKtikaf Perdana IKRAM Pulau Pinang.

Carilah kesempatan agar bertemu dengan Lailatul Qadar. Kurbankanlah sedikit masa rehat agar peluang yang Allah SWT kurniakan ini dapat kita kecapi kemanisan beribadat di malam yang lebih baik dari seribu bulan yang jika dihitung ianya melebihi 83 tahun. Kerjakan ibadah dengan penuh kusyuk sebagai seorang hamba.

TYDP IKRAM SPU Cikgu Ismail Abdullah begitu kusyuk meneliti ayat-ayt suci Al Quran.

Kualiti mesti tinggi dengan keikhlasan untuk mendapat kasih-sayang Allah. Semua bersandarkan kepada keredhaan Allah SWT semata-mata. Tiada niat yang selainNya. Semoga kita berjaya memperoleh ganjaran Makam Taqwa di penghujung Ramadan. Kita doakan di awal Syawal nanti kita kembali kepada fitrah menjadi insan yang suci dan murni.

Semoga Madrasah Ramadan ini dan segala amalannya akan dapat diteruskan ke bulan-bulan yang lain. Sayu rasanya meninggalkan Ramadan ini namun itu kehendak Ilahi dan semoga diberi peluang bertemu Ramadan di tahun hadapan insyaAllah.

Rusli Hashim : IKRAMediapp.com

Thursday, September 2, 2010

Wanita IKRAM WP desak kerajaan kawal pornografi

KUALA LUMPUR – Khamis, 26 Ogos 2010, Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan adalah antara lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Wanita Islam Kuala Lumpur yang mendesak kerajaan agar mengambil langkah-langkah serius dan bersungguh-sungguh untuk mengawal kebanjiran bahan pornografi di internet dan media massa.

Dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Pusat Bandar Melawati dekat sini Isnin lalu, gabungan tersebut berpandangan bahawa kepesatan perkembangan dunia teknologi maklumat dan komunikasi turut menimbulkan kegusaran kerana gejala kebanjiran bahan-bahan berbaur pornografi dan yang berbentuk ‘hardcore’ pornografi dapat diakses dengan mudah oleh pengguna internet bawah umur iaitu kanak-kanak dan remaja.

“Terdedah kepada unsur-unsur pornografi boleh mengakibatkan pelbagai kesan yang tidak sihat seperti menggalakkan seks luar nikah dan penzinaan, juga penganiayaan seksual kanak-kanak dan keganasan seks”, tegas jurucakap gabungan, Dr Hjh Niekmah Adam yang juga merupakan Ketua Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan. Menurutnya lagi, kajian oleh sekumpulan penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia mendapati 22 peratus remaja Melayu gemar melayari laman web lucah sama ada di rumah atau di kafe siber. Sementara itu, Google Trends mendedahkan bahawa Malaysia kini berada di tangga kelapan bagi negara yang penduduknya paling banyak mencari maklumat mengenai seks di internet.

Menurut kenyataan media itu lagi, media massa elektronik seperti stesen televisyen tempatan lebih kerap menonjolkan budaya hedonisme melampau berbanding nilai agama. Berita-berita seperti rogol, rompakan dan perbuatan buruk lain dalam media cetak pula kadang-kala ditulis secara terperinci dan ‘explicit’ serta kerap disensasikan. Tindakan ini hanya akan menjadi pencetus rasa ‘ingin tahu dan mencuba’ sebahagian pembaca. Penerbitan majalah pula sepatutnya mempunyai motif yang jelas, bukan sekadar menyebarkan gosip dengan selitan gambar-gambar yang memberahikan.

Gabungan NGO tersebut seterusnya mendesak supaya:
1. Kerajaan mengambil langkah serius untuk mengawal kebanjiran bahan pornografi di internet dan media massa.

2. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan lebih berat kepada mana-mana pihak yang menjual dan mengedarkan bahan pornografi dan mengawal lambakan VCD lucah di pasaran.

3. Kementerian Dalam Negeri mengawal penerbitan buku, majalah dan akhbar yang memaparkan cerita, berita dan grafik yang mengandungi unsur-unsur kelucahan melampau.

4. Peningkatan penguatkuasaan hukuman dilakukan. Hukuman berbentuk denda dilihat tidak mampu memberi kesedaran kepada pengedar VCD lucah. Sewajarnya kerajaan mempertimbangkan hukuman yang lebih keras.

5. Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan lebih serius dan konsisten mengawal bahan-bahan siaran sama ada di stesen penyiar kerajaan mahupun swasta secara telus. Hak penapisan kandungan bahan siaran yang diberikan kepada sesetengah stesen penyiar perlu ditarik balik dan Lembaga Penapisan Filem yang dilihat gagal memainkan peranan dan fungsinya perlu dinilai semula.

6. Ibu bapa memainan peranan aktif mendidik kanak-kanak dan remaja agar mereka mempunyai benteng kawalan diri yang mantap terhadap gejala negatif sejak kecil lagi.

Selain Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan dan Wanita JIM Kuala Lumpur, gabungan NGO terbabit turut dianggotai An-Nidaa’, Women Institute for Research, Development and Advancement, Persatuan Kebajikan Darul Najah, Nisa’ Wilayah Persekutuan, Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Hulu Kelang dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Wilayah.

Laporan dari : http://www.ikram.org.my/