PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM) Negeri Pulau Pinang

PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM) Negeri Pulau Pinang
Brotherhood the Foundation of Glory

Thursday, September 2, 2010

Wanita IKRAM WP desak kerajaan kawal pornografi

KUALA LUMPUR – Khamis, 26 Ogos 2010, Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan adalah antara lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Wanita Islam Kuala Lumpur yang mendesak kerajaan agar mengambil langkah-langkah serius dan bersungguh-sungguh untuk mengawal kebanjiran bahan pornografi di internet dan media massa.

Dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Pusat Bandar Melawati dekat sini Isnin lalu, gabungan tersebut berpandangan bahawa kepesatan perkembangan dunia teknologi maklumat dan komunikasi turut menimbulkan kegusaran kerana gejala kebanjiran bahan-bahan berbaur pornografi dan yang berbentuk ‘hardcore’ pornografi dapat diakses dengan mudah oleh pengguna internet bawah umur iaitu kanak-kanak dan remaja.

“Terdedah kepada unsur-unsur pornografi boleh mengakibatkan pelbagai kesan yang tidak sihat seperti menggalakkan seks luar nikah dan penzinaan, juga penganiayaan seksual kanak-kanak dan keganasan seks”, tegas jurucakap gabungan, Dr Hjh Niekmah Adam yang juga merupakan Ketua Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan. Menurutnya lagi, kajian oleh sekumpulan penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia mendapati 22 peratus remaja Melayu gemar melayari laman web lucah sama ada di rumah atau di kafe siber. Sementara itu, Google Trends mendedahkan bahawa Malaysia kini berada di tangga kelapan bagi negara yang penduduknya paling banyak mencari maklumat mengenai seks di internet.

Menurut kenyataan media itu lagi, media massa elektronik seperti stesen televisyen tempatan lebih kerap menonjolkan budaya hedonisme melampau berbanding nilai agama. Berita-berita seperti rogol, rompakan dan perbuatan buruk lain dalam media cetak pula kadang-kala ditulis secara terperinci dan ‘explicit’ serta kerap disensasikan. Tindakan ini hanya akan menjadi pencetus rasa ‘ingin tahu dan mencuba’ sebahagian pembaca. Penerbitan majalah pula sepatutnya mempunyai motif yang jelas, bukan sekadar menyebarkan gosip dengan selitan gambar-gambar yang memberahikan.

Gabungan NGO tersebut seterusnya mendesak supaya:
1. Kerajaan mengambil langkah serius untuk mengawal kebanjiran bahan pornografi di internet dan media massa.

2. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan lebih berat kepada mana-mana pihak yang menjual dan mengedarkan bahan pornografi dan mengawal lambakan VCD lucah di pasaran.

3. Kementerian Dalam Negeri mengawal penerbitan buku, majalah dan akhbar yang memaparkan cerita, berita dan grafik yang mengandungi unsur-unsur kelucahan melampau.

4. Peningkatan penguatkuasaan hukuman dilakukan. Hukuman berbentuk denda dilihat tidak mampu memberi kesedaran kepada pengedar VCD lucah. Sewajarnya kerajaan mempertimbangkan hukuman yang lebih keras.

5. Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan lebih serius dan konsisten mengawal bahan-bahan siaran sama ada di stesen penyiar kerajaan mahupun swasta secara telus. Hak penapisan kandungan bahan siaran yang diberikan kepada sesetengah stesen penyiar perlu ditarik balik dan Lembaga Penapisan Filem yang dilihat gagal memainkan peranan dan fungsinya perlu dinilai semula.

6. Ibu bapa memainan peranan aktif mendidik kanak-kanak dan remaja agar mereka mempunyai benteng kawalan diri yang mantap terhadap gejala negatif sejak kecil lagi.

Selain Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan dan Wanita JIM Kuala Lumpur, gabungan NGO terbabit turut dianggotai An-Nidaa’, Women Institute for Research, Development and Advancement, Persatuan Kebajikan Darul Najah, Nisa’ Wilayah Persekutuan, Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Hulu Kelang dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Wilayah.

Laporan dari : http://www.ikram.org.my/

No comments: